Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mempersoalkan kewajaran penggunaan istilah “rumah mampu milik” apabila ramai rakyat masih tidak mampu untuk membelinya, meskipun harganya dikategorikan di bawah RM300,000.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr T Saravanan berkata, realiti di lapangan menunjukkan istilah itu langsung tidak mencerminkan kemampuan sebenar rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang terpaksa berdepan kos sara hidup tinggi dan komitmen kewangan sedia ada.
“Walaupun harga rumah itu diklasifikasikan sebagai mampu milik, ramai rakyat terutama dalam kalangan B40 dan M40 masih tidak mampu untuk membeli rumah ini.
“Rumah yang dikatakan mampu milik masih melebihi kemampuan kewangan isi rumah jika diambil kira ansuran bulanan, kos sara hidup dan komitmen kewangan sedia ada,” katanya memetik laporan Berita Harian.
FOMCA mencadangkan supaya satu entiti seperti Majlis Perumahan Mampu Milik ditubuhkan untuk menyemak semula dasar sedia ada secara menyeluruh, melibatkan kerjasama antara kerajaan, pemaju, pakar ekonomi dan pertubuhan pengguna.
Data rumah tidak terjual semakin membimbangkan
Isu ketidakpadanan antara harga yang ditawarkan dan kemampuan pembeli dapat dilihat dalam laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang merekodkan 7,135 unit rumah bawah RM300,000 tidak terjual dalam suku pertama 2025. Unit-unit ini dianggarkan bernilai RM1.58 bilion.
Kuala Lumpur merekodkan angka tertinggi dengan 3,668 unit, diikuti Johor (3,034 unit) dan Perak (2,964 unit), menjadikan jumlah keseluruhan hartanah tidak terjual seluruh negara sebanyak 23,515 unit.
Saravanan berkata, antara faktor utama penyumbang kepada situasi itu ialah lokasi projek perumahan yang tidak strategik — terlalu jauh dari pusat bandar, kurang kemudahan asas dan sukar diakses dengan pengangkutan awam.
“Akibatnya, walaupun harga rumah kelihatan rendah, kos hidup di kawasan itu jadi lebih tinggi bila ditambah dengan kos perjalanan harian dan masa yang hilang.
“Ini menjadikan rumah itu tidak praktikal dibeli oleh mereka yang benar-benar memerlukan,” jelasnya.
Perlu sistem berasaskan data, bukan angka atas kertas
FOMCA turut mencadangkan kerajaan membangunkan satu pangkalan data nasional bagi mengenal pasti keperluan perumahan sebenar di setiap kawasan termasuk jumlah permintaan, julat harga yang benar-benar mampu dimiliki dan jenis rumah sesuai berdasarkan saiz keluarga serta pekerjaan.
Saravanan juga mengingatkan, kejayaan dasar perumahan tidak wajar diukur dari segi kuantiti rumah dibina, tetapi sejauh mana rakyat mampu tinggal selesa di rumah tersebut.
“Dasar yang berasaskan data, keperluan tempatan dan realiti pendapatan rakyat jauh lebih berkesan daripada pendekatan yang hanya fokus pada angka,” katanya lagi.
Cadangan bantu golongan berpendapatan tak tetap
Dalam aspek pembiayaan, FOMCA berpandangan ramai pekerja dalam sektor tidak formal seperti pemandu e-hailing dan penghantar makanan sukar mendapat pinjaman perumahan walaupun berpendapatan tetap.
Sehubungan itu, Saravanan mencadangkan supaya skim Rent-to-Own (sewa untuk milik) diperluaskan serta perkenalkan skim jaminan kerajaan bagi membantu golongan ini memiliki rumah pertama mereka.
“Peranan institusi kewangan juga perlu disemak agar lebih inklusif terhadap kumpulan ini,” katanya.