Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Assalamualaikum Ustaz. Maaf jika menganggu. Saya perlukan nasihat ustaz jika ustaz ada kelapangan.
Saya ibu kepada 3 zuriat yang Alhamdulillah sihat sempurna. Saya pernah berpisah dengan suami pada tahun 2013 dan bernikah semula pada 2015. Agak lama saya ambil keputusan untuk bernikah semula tetapi atas kesungguhan suami dan saya nampak usaha dia untuk memperbaiki diri saya terima kembali dia sebagai suami. Tetapi, perubahan dia hanyalah untuk menambat hati saya, sikap lamanya semakin lama semakin terserlah.
Dia tiada masa untuk saya dan anak-anak. Kehidupannya hanya di luar. Keluar jam 10 pagi, balik rumah jam 4 atau 5 pagi keesokan hari. Bila berada di rumah, dia akan tidur tanpa menghiraukan saya dan anak-anak. Solatnya memang susah nak tengok. Dia juga peminum ketum tegar.
Bermacam-macam cara saya sudah lakukan. Melalui nasihat, melalui pujukan, marah, bergaduh, bertengkar tetapi dia tetap dengan sikap dia yang seolah-olah remaja yang sedang meningkat usia. Bertambah teruk jika ada masalah, dia kerap mengambil jalan singkat dengan berkenalan dengan wanita lain bagi mengurangkan rasa marah pada saya, untuk tenangkan fikiran kata dia.
Allahuakbar.
Saya selalu nasihatkan dia, “Tolonglah berubah jika sayangkan rumah tangga ini. Anak-anak semakin membesar, mereka terkesan dengan kepincangan rumah tangga kita.”
Tetapi seperti mencurah air ke daun keladi. Bila saya nasihatkan;
“Berkawanlah dengan mereka yang boleh bawak awak ke jalan kebaikan.”
Dia jawab semula, “Kenapa? Kawan awak semua masuk syurga ke??”
Saya sampai segan bawa dia balik ke rumah ibu saya. Abang-abang saya tanya, “suami kamu tak solat ke? Umur dah 40 tahun.”
Tentang tanggungjawab pada saya dan anak-anak, suami saya selalu acuh tak acuh. Dia selalu kata gaji dia RM1,800. Jadi dia tak mampu nak bayar banyak benda. Tapi untuk air ketum dan kehendak dia, dia mesti akan usaha sehabis daya.
Kami sudah hampir berbulan-bulan tidak bercakap, tiada bersembang, jalan-jalan bersama pun. Selalunya akan bergaduh sebab sebelum keluar dia mesti akan cakap yang dia kesuntukan masa kerana dah berjanji dengan kawan-kawan.
Saya mohon dia keluar dari rumah supaya dia dapat berfikir adakah bersama saya dan anak-anak hidup dia lebih tenang atau berada di luar sana lebih baik. Lagipun saya tidak mampu untuk menanggung dia. Saya boleh berusaha sehabis daya untuk anak-anak, tetapi bukan untuk dia.
Saya juga tidak menafikan yang kadang-kadang mulut saya memang terlalu kurang adab kerana saya sakit hati dan mata melihat kelakuan dia. Dia balik dari lepak jam 4 atau 5 pagi. Sampai di rumah terus tidur dalam keadaan yang kotor. Saya kejutkan anak solat subuh, dia lena dibuai mimpi. Bangun dari tidur bersiap-siap pula untuk keluar bersama rakan-rakan.
Saya sedang kuatkan hati saya untuk meninggalkan suami saya. Saya minta dia keluar dari rumah atau dalam bahasa kasar, menghalau dia dari rumah. Betulkah perbuatan saya ini ustaz? Saya sentiasa berdoa pd Allah supaya Allah lembutkan hati kami berdua. Tetapi setiap kali itulah ada saja perkara yang membuatkan saya marah kepada dia.
Terima kasih ustaz..
Wassalam








