‘Audio Zara Qairina sebut 'Kak M’ adalah rakaman sebenar' – Peguam | The Reporter

‘Audio Zara Qairina sebut ‘Kak M’ adalah rakaman sebenar’ – Peguam

Peguam sahkan audio rakaman perbualan Zara Qairina menyebut Kak M adalah rakaman sebenar
Peguam juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang kematian Zara Qairina.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Peguam kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan rakaman audio berdurasi 44 saat yang tular memaparkan perbualan antara pelajar itu dan ibunya mengenai individu dikenali sebagai ‘Kak M’ adalah rakaman sebenar.

Menurut Hamid Ismail, yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, rakaman itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berhenti menyebarkan teori serta spekulasi tidak berasas berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu termasuk dakwaan tular kononnya Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman.

“Hentikan buat spekulasi sebegitu,” katanya ringkas.

Dakwaan itu yang tersebar di media sosial mengaitkan kecederaan mangsa dengan tekanan mesin basuh, kononnya digunakan untuk menghapuskan cap jari dan DNA oleh pembunuh. Namun begitu, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai dakwaan tersebut.

Baca juga:

Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, ditemukan parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokan harinya.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam keluarga turut menghantar surat kepada Peguam Negara semalam bagi memohon empat perkara, antaranya siasatan dikembalikan kepada polis dan dibuka semula serta diketuai pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.

Mereka juga memohon agar kubur Allahyarham digali semula untuk bedah siasat dan satu inkues dijalankan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi menentukan punca sebenar kematian serta kewujudan unsur jenayah.

Menurut Hamid dan seorang lagi peguam, Shahlan Jufri, ibu mangsa tidak mengharapkan kemenangan, sebaliknya hanya mahukan keadilan untuk anaknya dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Sumber: Berita Harian

Related Posts