Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Bintang Hollywood dan legenda bina badan, Arnold Schwarzenegger, memberi amaran bahawa kita berkemungkinan sedang membesarkan generasi yang lemah.
Dalam wawancara bersama The Howard Stern Show tahun lalu, Schwarzenegger, 77, menekankan cabaran adalah penting untuk perkembangan diri golongan muda. Ini kerana tanpa cabaran, golongan muda yang ada pada hari ini akan menjadi generasi yang lemah dan tidak berdaya.
Mengulas lebih lanjut, Schwarzenegger menyatakan kekuatan dalaman hanya dapat dibina melalui rintangan, kegagalan dan usaha keras. Semakin banyak seseorang itu menghadapi cabaran dalam hidup, semakin besar peluang untuk berjaya kerana cabaran membina daya tahan.
Beliau juga mengkritik masyarakat pada hari ini terlalu sensitif dan terlalu mengambil berat tentang perasaan golongan muda. Apabila golongan ini terlalu dimanjakan, mereka tidak dapat mencapai kejayaan. Untuk itu, mereka perlu belajar menerima kesakitan, penderitaan dan ketidakselesaan untuk menjadikan mereka lebih kuat.
Mengimbau kembali sejarah pembangunan Amerika Syarikat, negara tersebut dibina oleh individu yang bekerja keras sejak awal pagi. Kejayaan Amerika Syarikat dicapai melalui usaha gigih, bukan dengan sikap malas dan mencari keselesaan.
Justeru, Schwarzenegger menyeru agar golongan ibu bapa mengajar anak-anak untuk menjadi kuat, terlibat dalam sukan dan menghadapi saat-saat sukar dalam hidup. Dengan cara ini, maka dapatlah kita membesarkan generasi yang lebih tahan lasak dan berjaya.
Sumber: Joe