Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Anwar tegur golongan terpelajar yang hanya bersuara bila sesuai dengan kepentingan sendiri.
• Beliau anggap sikap itu hipokrit dan punca rasuah jadi budaya biasa.
• Perdana Menteri tegaskan kebebasan kehakiman tidak wajar diperalatkan demi agenda tertentu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir sikap segelintir golongan terpelajar yang gemar melaungkan slogan reformasi, namun tiba-tiba memilih untuk berdiam diri bila individu berpengaruh mula disiasat berkait rasuah.
Katanya, ramai yang lantang mengkritik bila pemimpin tertentu disabitkan, tetapi sikap itu hilang bila siasatan terkena orang yang pernah menyokong agenda mereka.
“Saya rasa pelik dan melihat ia sangat hipokrit apabila bercakap tentang rasuah, contohnya berkata kepada seorang bekas Perdana Menteri, tetapi mengabaikan mereka yang sudah merompak berbilion ringgit. Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat mereka, tidak ada sepatah sokongan pun. Apa salahnya sistem kita? Kita patut boleh bersuara,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Bersuara bila selesa, diam bila rugi
Anwar menegaskan, integriti tidak boleh diukur mengikut selera sendiri. Beliau menyatakan sebahagian golongan terpelajar hanya mendesak pembaharuan jika ia tidak menjejaskan kepentingan peribadi atau politik.
“Saya tak kata kita harus terbabit dalam politik partisan, tetapi perlu fokus pada etika dan nilai. Hanya kerana jutawan menyokong anda, organisasi atau parti anda, itu tidak bermaksud kita harus tutup mata terhadap salah laku masa lalu,” katanya lagi.
Beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana wujud kelompok yang mendakwa memperjuangkan kebebasan kehakiman, tetapi hanya bila keputusan mahkamah memihak kepada mereka.
“Jadi bagaimana kita mahu uruskannya? Contohnya, apabila seorang individu dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), Perdana Menteri dihentam oleh satu kumpulan. Minggu berikutnya, orang lain pula kena DNAA, PM juga dihentam oleh kumpulan lain.
“Mereka bercakap mengenai kebebasan kehakiman, tetapi mahu mengikut kehendak sendiri. Ini diktator kehakiman. Apa yang anda mahu? Mahu saya jadi diktator? Suruh hakim putuskan ikut pandangan peribadi kamu? Ini bukan kebebasan. Sebahagiannya setuju, sebahagian tidak. Tapi inilah maksud kebebasan kehakiman,” katanya.
Nilai yang luntur jadi punca rasuah
Menurut beliau, budaya rasuah kini menjadi penyakit dalam sistem pentadbiran kerana hilangnya idealisme dalam kalangan pemimpin dan penyokong elit.
“Kita mahu pacu pertumbuhan yang boleh digunakan untuk manfaat masyarakat dan kemanusiaan. Ia berlandaskan idealisme, nilai dan etika kukuh. Tapi bila masuk generasi seterusnya, nilai itu mulai luntur.
“Kita hilang idealisme apabila golongan berkuasa mahukan kekayaan, manakala golongan elit pula, atas alasan tertentu, menyokong satu pihak atau obses dengan kepentingan tertentu sehingga mengabaikan keseluruhan kerumitan ekonomi. Ia menyebabkan rasuah menjadi endemik dalam sistem,” katanya.








