'Bukan sekat hak, tapi jaga falsafah pendidikan' – Anwar jelaskan larangan alkohol di sekolah | The Reporter

‘Bukan sekat hak, tapi jaga falsafah pendidikan’ – Anwar jelaskan larangan alkohol di sekolah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap di Dewan Rakyat menjelaskan larangan alkohol di kawasan sekolah bagi menjaga falsafah pendidikan.
“Bukan sekat hak, tapi jaga falsafah pendidikan” – Anwar tegaskan alkohol tidak wajar dihidangkan di kawasan sekolah. | Sumber gambar: Kosmo! Online

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya untuk memastikan alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah kerana tindakan itu bercanggah dengan nilai asas pendidikan.

Beliau berkata larangan itu bukan soal memaksa nilai agama, tetapi untuk mengekalkan persekitaran sekolah sebagai tempat pembentukan insan dan bukannya pesta sosial.

“Saya percaya ada yang bimbang seolah-olah kita memaksa pandangan Islam, tetapi maksud saya ialah melihat falsafah pendidikan, adakah pendidikan sekadar menimba ilmu, atau membentuk manusia dan nilai manusiawi,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Anwar, penganjuran sebarang acara yang melibatkan alkohol di kawasan sekolah termasuk oleh pihak luar tidak wajar diteruskan.

“Saya cenderung untuk tidak membenarkan pesta-pesta seperti itu, termasuk pesta kerajaan, sama ada sebelum atau selepas majlis,” katanya.

Baca juga:

Isu alumni St Michael’s jadi tumpuan

Kenyataan Anwar merujuk kepada acara jamuan tahunan Old Michaelian’s Association di St Michael’s Institution, Ipoh, yang mencetuskan perdebatan selepas laporan mendakwa alkohol dihidangkan semasa majlis itu.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahmad Fadhli Shari (PN–Pasir Mas) yang meminta penjelasan kerajaan. Anwar menegaskan prinsip tersebut boleh dikuatkuasakan di sekolah awam kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan.

“Kalau sekolah milik kerajaan, saya tak fikir kita harus langgar prinsip ini,” katanya.

KPM perketat peraturan baharu

Anwar turut memaklumkan Kementerian Pendidikan sedang meneliti semula peraturan berkaitan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

“Walaupun dikatakan kawasan itu disewa oleh badan bebas dan ada arak serta perjudian, ini bukan mendidik anak-anak. Ia melanggar falsafah pendidikan kita sendiri,” katanya sambil memaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sudah membawa perkara itu ke perhatian beliau.

Sumber: MalaysiaKini

Related Posts