Anwar beri amaran, jangan jadikan agama sebagai senjata politik | The Reporter

Anwar beri amaran, jangan jadikan agama sebagai senjata politik

Anwar Ibrahim memberi kenyataan kepada media mengenai isu agama dan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa agama tidak boleh dijadikan alat politik demi kepentingan peribadi, sambil memberi amaran kepada pemimpin dan ahli politik yang cuba mempergunakan sentimen keagamaan untuk meraih sokongan.

Permainan politik berbentuk provokasi agama boleh membawa perpecahan dan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap agama dan manusia.

“Jika kita teruskan budaya ini, ia akan membakar dan memusnahkan rakyat. Pendirian kerajaan jelas – penghinaan terhadap agama dan manusia tidak boleh diterima,” katanya memetik laporan Bernama, Jumaat, 7 Mac 2025.

Semua pihak turut digesa agar mengemukakan pandangan berkaitan agama melalui saluran yang betul serta mengikut undang-undang sedia ada. Ini kerana setiap individu bertanggungjawab menjaga keharmonian dan mengelakkan sebarang bentuk provokasi.

Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Anwar mengingatkan sebarang tindakan yang mencetuskan ketegangan agama tidak boleh dibiarkan berlarutan.

“Ini bulan Ramadan, hari Jumaat yang mulia. Jika ada yang melanggar batas, mereka perlu menerima akibat mengikut jalur hukum,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan berbaur provokasi dan mempermainkan isu agama, termasuk mereka yang menggunakan media sosial sebagai platform untuk mencetuskan perpecahan.

Peringatan ini hadir susulan peningkatan insiden provokasi agama di media sosial yang turut melibatkan ahli politik tertentu, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap potensi ketidakstabilan sosial.

Related Posts