Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meluahkan rasa amat dukacita susulan kegagalan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, yang tidak berjaya memperoleh sokongan dua pertiga di Parlimen.
Menurut beliau, pindaan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya 148 undi daripada Ahli Parlimen yang hadir secara fizikal untuk diluluskan. Bagaimanapun, keputusan undian menunjukkan hanya 146 Ahli Parlimen menyokong usul berkenaan, sekali gus kurang dua undi daripada jumlah minimum yang diperlukan.
“Untuk pindaan ini diluluskan, ia memerlukan sokongan dua pertiga atau 148 Ahli Parlimen hadir secara fizikal. Keputusan yang menyokong ialah 146 iaitu kurang 2 undi untuk mencapai dua pertiga,” katanya.
Baca juga:
- ‘Ganggu akses ke hospital tak boleh dikompromi’ – Fadhli Shaari
- Na’imah, dua anak fail saman terhadap PM, KPN dan kerajaan
- Individu dakwa anggota badan beruniform tak berpuasa, ‘pau’ makanan
Anthony menegaskan bahawa kesemua 40 Ahli Parlimen DAP hadir dan memberikan sokongan penuh terhadap pindaan tersebut. Katanya, DAP telah berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan agenda reformasi institusi termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai langkah memperkukuh sistem demokrasi negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa kesemua 40 Ahli Parlimen DAP hadir untuk menyokong pindaan tersebut. DAP telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk merealiisasikan agenda reformasi tersebut,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat sivil serta para pengundi yang mahu melihat reformasi institusi dilaksanakan supaya mengecam dan mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen yang tidak hadir serta mereka yang tidak menyokong pindaan berkenaan, termasuk dalam kalangan blok pembangkang.
Terdahulu, Dewan Rakyat menolak RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang bertujuan mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. Hanya 146 ahli Parlimen menyokong, manakala 44 tidak mengundi dan 32 tidak hadir, sekali gus gagal mencapai sokongan dua pertiga yang diperlukan.








