Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Dalam satu kejadian di Brazil, seekor ular anaconda betina bunting telah dilanggar kenderaan di Lebuh Raya MT-388, Porto dos Gauchos, menyebabkan lebih 40 ekor anak ular yang belum lahir terkeluar dari perutnya.
Rakaman insiden itu dikongsikan oleh seorang nelayan, Ederson Antonioli, di TikTok pada hari Isnin lalu. Dalam klip tersebut, anak-anak ular yang panjangnya kira-kira satu kaki dilihat bertaburan di jalan raya. Malangnya, kesemua anak ular tersebut tidak dapat diselamatkan.
“Anaconda malang ini mempunyai banyak anak. Kasihan,” tulis Ederson di ruangan kapsyen video tersebut.
Menurutnya, rakaman itu dirakam oleh seorang rakannya yang sedang dalam perjalanan pulang selepas memancing.
Video yang telah ditonton lebih dari 85,000 kali di TikTok itu menunjukkan ular sepanjang kira-kira 16 kaki itu mengalami kecederaan teruk akibat dilanggar dan digilis tayar kenderaan.
Anaconda adalah antara ular terbesar di dunia yang boleh membesar sehingga 30 kaki panjang dan mencapai berat lebih 250 kilogram. Ular ini biasanya mendiami kawasan paya, hutan, dan sungai di kawasan Amazon.
Menurut National Geographic, anaconda betina melahirkan anak ular hidup, biasanya antara 20 hingga 36 ekor, dengan panjang sekitar dua kaki setiap seekor. Anak-anak ular ini biasanya terus boleh berenang dan memburu selepas dilahirkan.
Tahun lalu, spesies anaconda hijau terbesar pernah ditemui di kawasan terpencil Amazon di Brazil. Ular sepanjang 26 kaki dan seberat 200 kilogram itu ditemui oleh sekumpulan saintis antarabangsa yang mendokumentasikan penemuan tersebut dalam jurnal saintifik Diversity. – Agensi