Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah menzahirkan rasa pilu atas pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia hari ini.
Dalam satu kenyataan menyentuh hati, Mohd Shahar menceritakan detik-detik kecil namun bermakna yang menjadi memorinya bersama tokoh politik itu ketika bersama di Dewan Rakyat.
“Hari ini, seorang sahabat yang duduk di sisi saya dalam dewan berpulang pergi – Allahyarham DS Bung Moktar,” katanya.
Tambah beliau, pemergian Bung Moktar pada hari Jumaat memberi makna besar, kerana ia dianggap sebagai hari mulia dan dijanjikan perlindungan daripada azab kubur bagi insan yang dimuliakan perjalanannya.
Baca juga:
- Mangsa kebakaran Putra Heights syukur terima rumah, tapi dakwa janji tak ditepati?
- Kru kabin AirAsia kini dibenarkan berhijab
- ‘Allahyarham Bung Mokhtar selalu berzikir di Dewan Rakyat’- Mohd Shahar
Walaupun Bung Moktar dikenali ramai dengan ketegasan dan kelantangannya dalam dunia politik, Mohd Shahar mendedahkan sisi peribadi yang jarang dilihat umum.
“Jarinya sentiasa tergenggam tasbih bila berada di dalam dewan. Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami… tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat hati ini merasa damai,” ujarnya.
Menurutnya, bunyi zikir itulah yang kini tinggal sebagai kenangan yang akan terus hidup dalam ingatannya.
Beliau turut berkongsi rakaman video, ketika Allahyarham membantu membetulkan pin pada pakaiannya.
“Begitulah beliau, membantu dalam senyap, hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu,” katanya lagi.
Mohd Shahar turut mendoakan agar Allah melapangkan perjalanan Allahyarham, mengampunkan segala kesilapan serta menempatkannya di syurga yang tenang.
“Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang, zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang.
“Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang. Semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang,” tulisnya.









