Pelakon dan usahawan Wawa Zainal beberapa hari lalu berkongsi keterujaannya dapat menaja program Big Stage yang mencecah jutaan ringgit.
Di sebalik keterujaannya itu, ada segelintir individu membuat teguran agar pasangan selebriti berkenaan melaburkan wang pada jalan yang lebih diredhai oleh Allah.
Tidak melatah dengan teguran tersebut, suami Wawa iaitu Aeril Zafrel, menerima teguran itu dengan hati yang terbuka.
“Alhamdulillah, terima kasih atas teguran. Kami berdua menerima dengan hati terbuka. Terima kasih kerana saling ingat mengingati.
“Sebagai peniaga, kami memang harus mengeluarkan modal untuk marketing. Mungkin ada yang tidak faham. Sebagai seorang peniaga, marketing ini perlu, ini adalah untuk membantu reseller kami meningkatkan jualan sekali gus membantu menaiktaraf kehidupan mereka.
“Mengenai dengan amalan, biarlah antara saya dengan Tuhan dan bukan menjadi fokus utama kami untuk sering berkongsi atau post di media sosial.
“Apa pun, semoga kita sama-sama mendapat syurga Allah kerana setiap orang mempunyai cara dan tiket pintu syurga mereka tersendiri. InsyaAllah,” katanya.
Untuk pengetahuan umum, pasangan selebriti ini pernah dilaporkan menyumbang RM1.2 juta untuk membina sebuah masjid yang mampu memuatkan lebih kurang 700 orang jemaah di kampung halaman Aeril di Johor.
Menurut Aeril, hasrat untuk membina masjid itu datang selepas mendengar ceramah seorang pendakwah agama yang berkata jika ingin menempa nama di syurga, binalah masjid jika mempunyai wang lebih.
Sumber: Instagram Aeril Zafrel