Setelah beberapa minggu berdiam diri, penyanyi Datuk Hattan akhirnya bersuara mengenai kontroversinya dengan penyampai berita Astro Awani di mana dia didakwa tidak beradab ketika menjawab soalan yang diajukan dalam siaran langsung.
Jelas Hattan, kontroversi itu langsung tidak menjejaskan kariernya yang berjalan lancar seperti biasa. Malah dia mendapat banyak tawaran untuk menyanyi di seluruh negara.
“Alhamdulillah, saya tak menang tangan ditawarkan menyanyi di sana sini. Ada satu syarikat ambil saya menyanyi untuk lima show anjuran mereka di seluruh negara.
Sudah semestinya saya menyanyi dengan iringan pemuzik pengiring,” katanya memetik laporan Harian Metro, Khamis, 18 Mei 2023.
Sebelum ini, Hattan dalam kenyataannya berkata, kontroversi itu membuatkan dia kian kenal siapa kawan dan lawannya dalam industri.
“Apa yang berlaku tempoh hari buat saya kian kenal ramai rakan sebenar suka tikam belakang. Tapi tak mengapa,” ujarnya.
Hattan dikecam teruk di media sosial ekoran tindakannya menempelak penyampai berita Astro Awani yang didakwa tidak membuat kajian sebelum mengajukan soalan kepadanya mengenai arwah vokalis XPDC, Mael yang meninggal dunia pada 27 April lalu.
Isterinya, Datin Arianie Abidin turut mendakwa mereka sekeluarga menerima ugutan bunuh dan santau dari netizen yang tidak berpuas hati dengan Hattan.
Sumber: Harian Metro