'Alhamdulillah, Akhirnya Saya Diceraikan...' - The Reporter

‘Alhamdulillah, Akhirnya Saya Diceraikan…’

Kisah ‘Seksanya Hidup Bersuamikan Lelaki Hipokrit, Tolonglah saya‘ sama seperti apa yang saya pernah lalui. Bezanya, saya tak ada anak. 
2007-2013, saya tidak meminta keluarga atau sesiapa untuk membantu. Berulang kali saya cuba lari tetapi dikejar dan hampir membunuh diri. Saya telah bermacam-macam ubat sampai khayal disebabkan ubat batuk yang tamat tempoh. Ubat selsema, Gaviscon semua saya telan, saya biarkan diri saya khayal agar saya tidak merasa sakitnya. 
Saya dihina, dimaki di depan orang ramai. Setelah puas didera secara mental dan fizikal, dalam keadaan tak tentu arah, dalam keadaan pening disebabkan ubat-ubat yang ditelan, akhirnya saya mengalah dan mula bersolat mendekatkan diri dengan Allah. 
Saya tak peduli bila suami menghina saya ketika solat, malah dia naikkan volume televisyen. Saya menangis dalam sujud, meminta pertolongan dari Allah. Saya sedar doa saya tidak diterima kerana saya mungkin khayal dengan segala ubat yang saya telan. 
Saya nusyuz, lari dari rumah tanpa izin suami. Saya hina tetapi saya yakin, meskipun doa saya tidak layak diterima, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui. Jika dia bukan untukku, batulah saya keluar dari semua ini. Jika dia untukku, bukakanlah hati saya untuknya dan satukanlah kami. Saya penat berkata-kata dengan manusia. Allah, saya ingin meluahkan segalanya yang terpendam tetapi tidak terluah. Ya Allah, bantulah saya. 
Tetapi bila satu, hanya dengan satu hinaan disebab saya tidak menjawab panggilan suami, tiba-tiba saya rasa tenang dan berani. Saya rancang semua di saat akhir agar keluarga dan rakan-rakan tidak terlibat. Saya melarikan diri selama 3 bulan. Dalam keadaan sakit, lemah dan lapar, saya membawa diri dan barang-barang penting sahaja.
Sejak dari itu, saya menyepikan diri. Seminggu sekali saya periksa sim kad lama. Ada satu masa saya rasa sebak, menangis dan rasa kasihan bila mendapat mesej dari suami bahawa dia lapar dan tiada duit. Dia hanya makan nasi dengan kicap. Dia mesej pun dia minta duit. 
Saya ambil masa beberapa minit berfikir, apakah perlu untuk membantunya? Saya ambil keputusan untuk menghubungi jiran bilik sebab kami sewa bilik yang mana kami juga berkongsi dapur. Saya terdiam bila jiran memberitahu yang bekas suami makan sedap setiap hari. Beras pun beras mahal. Rupanya saya tertipu. 
Sejak dari itu, saya rajinkan diri ke pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, jumpa pengarah dan beliau banyak membantu saya, buat laporan polis, pergi ke hospital untuk kaunseling. 
Ketika di balai polis, laporan saya tetap diterima meskipun bukti yang menyatakan diri saya didera tiada langsung. Tetapi mereka rujuk di Balai Polis Labuan yang saya pernah membuat laporan sebelum ini namun telah ditarik balik di mana pada masa itu, saya datang ke balai dengan muka bengkak, bibir dan dagu berdarah, lebam-lebam. 
Setelah berulangkali menjalani sesi kaunseling dan terapi di hospital, mereka mengesahkan bahawa saya mengalami penderaan mental dan fizikal. Laporan kes saya setebal satu fail untuk tuntutan cerai fasakh. Ini kerana saya kurang yakin jika saya sekadar menuntut cerai begitu sahaja, sebab suami pernah bersumpah mahu membunuh saya dan pernah hampir membunuh saya! Saya risau kalau keluarga saya diapa-apakan. Pernah sekali dia mengugut mahu merogol adik dan mak saya jika saya tidak mengikutnya. 
Setelah 3 bulan, saya memberanikan diri menelefon dan mengugutnya kembali. Akhirnya dia minta cerai secara baik di mahkamah sebab dia tidak mahu dilabelkan sebagai dayus bila saya menuntut cerai. Saya diceraikan dengan talak satu di mahkamah. 
Sebelum ini, pada tahun 2010, kami pernah bercerai disebabkan buruk sangka dan fitnah yang dia lemparkan. Sejak dari 2010 itu hati saya sudah tertutup rapat untuk dia. Tetapi saya masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sebab takut, takut tiada syurga untuk saya. 
Ketika berdepan dengan hakim, saya tidak beberapa yakin untuk diceraikan kerana saya yang memohon. Dan ramai orang kata adalah susah untuk cerai jika si isteri yang membuat permohonan cerai. Sebelum kami dipanggil, memang ada beberapa kes yang ditangguh, tetapi bila tiba giliran kami, hakim seolah-olah memaksa bekas suami lafazkan cerai. Alhamdulillah, akhirnya saya dilepaskan. Saya tak kisah orang pandang hina pada saya, berstatus janda pada usia muda atau apa sekali pun. Hakim ada menetapkan beberapa perkara yang suami pergi beri dalam tempoh idah 3 bulan. Tetapi saya menolak. 
Di awal perceraian kami, bekas suami pernah meminta tolong untuk bayar hutang atau hulur duit sedikit sahaja. Tetapi saya menolak. 
“Saya lebih rela cari duit sendiri. Jangan pernah munculkan diri di hadapan saya lagi sebab saya tak akan teragak-agak untuk membunuh awak dan memijak awak seperti mana yang awak pernah katakan kepada saya dulu!”
Dia terkejut dengan keberanian saya, dia tak sangka saya berubah menjadi begitu. 
“Saya tak nak berdendam tetapi hati saya bengkak kerana penderitaan yang tidak tertanggung selama ini,” kata saya padanya. 
Saya menyangka selepas bercerai saya mampu melupakan semuanya. Tetapi hakikatnya saya tidak mampu menghapuskan semua memori. Bila lalu di kawasan tempat tinggal lama, saya menjadi sebak. Saya menangis meraung-raung, meronta-ronta seolah-olah saya masih berada di tempat yang sama. Saya ternampak siapa diri saya yang dulu, bagaimana saya didera oleh bekas suami. 
Meskipun sekarang saya bahagia, namun saya tidak mampu menghapuskan segala kesakitan yang pernah dilalui. – Cik Lu Lu | PIXEL MEDIA
Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!