Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelawak dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki tampil menjawab kritikan segelintir pihak terhadap penglibatannya dalam politik, dengan menegaskan keputusan itu dibuat bukan kerana mengejar kuasa.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Afdlin yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa berkata, beliau sedar ramai mempertikaikan kelayakannya untuk bercakap mengenai hal politik kerana latar belakangnya sebagai artis dan pelawak.
Menurutnya, kritikan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan besar tentang individu yang selama ini terlibat dalam politik negara.
“Ramai orang kata aku tak layak bercakap tentang negara. Aku cuma nak tanya satu soalan, orang yang selama ini merosakkan politik negara… mereka datang dari dunia seni ke?” katanya.
Bukan mengejar kuasa
Afdlin menjelaskan, beliau tidak menyertai politik kerana gilakan kuasa, malah kehidupannya sebagai artis sudah cukup selesa dengan kerjaya yang dicintainya.
Sebaliknya, penglibatan dalam politik menurutnya sebenarnya menambah cabaran dalam hidup, namun beliau teringat satu pesanan yang memberi kesan mendalam.
“Kalau orang baik tak masuk politik, orang tak baik akan menguasai politik,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau menyertai politik bukan untuk mengejar jawatan atau menjadi individu berpengaruh, tetapi kerana mahu melihat perubahan sistem terutama melibatkan kebajikan anak seni.
Afdlin berkata, sepanjang berada dalam industri, beliau menyedari ramai penggiat seni hidup dalam kesusahan kerana sistem yang tidak adil serta kurang memahami realiti industri kreatif.
“Bantuan NGO ada had. Kalau nak ubah nasib orang, kita kena ubah sistem. Dan untuk ubah sistem, kita kena berani masuk ke dalamnya,” jelasnya.
Baca juga:
- ‘Tiada pelanggaran SOP iring banduan’ – Jabatan Penjara
- Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta
- Raih 10A1 SPM, lelaki kongsikan kisah pengorbanan cikgu Matematik
Dunia politik penuh cabaran
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan kesetiaan kepada parti tidak bermaksud seseorang perlu menutup mata terhadap kesilapan.
Katanya, integriti lebih penting daripada populariti dan beliau tidak teragak-agak untuk menegur jika berlaku perkara yang salah walaupun melibatkan pihak sendiri.
Afdlin turut mengakui dunia politik penuh cabaran dan kritikan, termasuk serangan berbentuk fitnah daripada pihak yang tidak sehaluan.
Sumbangan kepada masyarakat
Namun, beliau berkata perkara itu tidak menghalangnya untuk terus menyumbang kepada masyarakat selagi yakin dengan prinsip kebenaran dan keadilan.
“Kalau korang tak sehaluan dengan seseorang, korang akan dihentam. Kadang dengan fakta, kadang dengan fitnah. Tak apa.
“Aku tak minta semua orang suka aku. Aku cuma minta satu perkara, beri aku ruang untuk bekerja dengan jujur,” katanya.
Afdlin juga mengingatkan bahawa beliau datang daripada latar belakang kehidupan sederhana sebagai anak Flat Seri Sabah dan pernah merasai kesusahan hidup.
“Rezeki aku dengan Allah SWT. Bukan dengan korang,” ujarnya.








