Rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai ‘vape’ telah menjadi isu yang semakin mendapat perhatian di kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda.
Vape mengandungi bahan kimia yang membahayakan kesihatan. Walaupun tiada pembakaran, vape mengeluarkan aerosol yang mengandungi nikotin, formaldehid dan logam berat seperti timah dan nikel.
Nikotin ini adalah bahan yang boleh membuatkan kita ketagihan. Selain itu, vape juga boleh menyebabkan masalah paru-paru seperti bocor paru-paru (pneumotoraks) dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).
Baru-baru ini, seorang bekas penghisap vape, Mohd. Azhan, berkongsi pengalamannya di Facebook. Mohd. Azhan mendakwa, dia hampir kehilangan disebabkan vape di mana saluran pernafasannya tersumbat dan hampir semua organ tubuhnya gagal berfungsi.
“Dua bulan yang lalu, aku terkena musibah yang aku tidak dapat lupakan dan menjadi fobia sampai sekarang bila teringat semula. Benda yang tidak dijangka, terjadi pada diri aku sendiri.
“Dipendekkan cerita, selepas balik dari menghadiri majlis perkahwinan adik di Pulau Pinang, ketika dalam kapal terbang ke Kuching, aku hampir pengsan sebab kekejangan otot dan kurang oksigen. Mujur dalam kapal terbang ketika itu ada doktor, first aider dan jururawat yang membantu.
“Setelah mendarat di Lapangan Terbang Kuching, aku terus masuk ambulans dan dibawa ke Hospital Kuching. Dalam ambulans, aku dah tak sedarkan diri. Sampai di hospital, aku dimasukkan ke Zon Merah dan dimaklumkan menghidap influenza, radang paru-paru, sistem respiratori gagal berfungsi dan hipertensi.
“Difahamkan, aku hilang nyawa selama lapan minit dan diberi bantuan pernafasan (CPR). Keadaan aku ketika itu terlalu lemah dan nyaris ditidurkan. Tetapi keluarga bermati-matian membantah aku ditidurkan.
“Selepas keadaan stabil, aku dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan masih tidak sedarkan diri. 13 hari aku berada di ICU, betapa seksanya aku di dalam, bertarung nyawa untuk hidup. Alhamdulillah dan syukur kepada Allah SWT, aku diberi peluang hidup buat kali kedua.
“Bila aku dah sedar, doktor maklumkan ada saluran tersumbat dalam paru-paru dan darah beku. Segala rawatan aku jalani seperti CT scan, periksa jantung, x-ray dan sleep study.
“Sekarang aku dah sihat dan masih lagi mengikuti rawatan lanjut di hospital. Sekarang aku dah berhenti vaping sebab itu adalah punca utama berlakunya saluran tersumbat dan darah beku yang menyebabkan banyak organ gagal berfungsi.
“Jadi kepada sesiapa yang merasakan aku ni kawan mereka, aku nasihatkan berhentilah menghisap vape. Anggaplah apa yang terjadi pada aku ini sebagai pengajaran. Serius, memang sengsara apabila dimasukkan ke hospital. Hari-hari kena cucuk jarum ambil darah.
“Tidak lupa juga terima kasih banyak-banyak kepada keluarga dan kawan-kawan berdoa serta memberi semangat unttuk aku. Alhamdulillah,” katanya.