Aizat Amdan akui terkesan dengan komen berbaur 'body shaming' - The Reporter

Aizat Amdan akui terkesan dengan komen berbaur ‘body shaming’

Penyanyi Aizat Amdan akui terkesan dengan komen-komen netizen berbaur sindiran Body Shaming.

Pelantun suara lagu terkenal Sungai Lui, Aizat Amdan, kini kerap dihujani dengan komen berbaur sindir badan atau ‘body shaming‘ gara-gara fizikal terkininya.

Menyedari hakikat itu, Aizat terpanggil untuk menyuarakan kebimbangan terhadap isu berkenaan. Bukan setakat untuk dirinya, tetapi buat sesiapa juga yang menjadi mangsa sindir badan dalam kalangan masyarakat kita.

Pastinya,dia baik-baik saja dan sihat walafiat. Dia juga tidak nafikan berat badannya bertambah, namun bukan pada tahap membimbangkan.

Syukur tiada penyakit kronik

“Memang berat saya banyak naik tapi tidak mendadak. Ramai bandingkan saya dengan penampilan awal-awal dulu. Saya tak fahamlah, cuba tengok gambar dulu.

“Saya naik (badan) tapi tentu saya kena kekalkan gaya hidup sihat. Apa-apapun, paling penting saya cuma nak beritahu orang saya sihat. Alhamdulillah. Tiada penyakit kronik atau seumpamanya dan saya bersyukur,” katanya.

Terpaksa luah pada isteri

Namun Aizat percaya masyarakat sepatutnya kini lebih peka serta mengambil iktibar terhadap isu sindir badan. Ia bukan isu yang harus dijadikan gurauan.

“Orang kena faham sindir badan sekarang sudah tak ‘cool’. Saya rasa ikut fatwa pun ia satu dosa. Hal itu tak sedap untuk kita dengar. Mula-mula saya tepis perkara itu.

“Tapi sampai satu masa, saya terpaksa luah kepada isteri perkara itu beri kesan terhadap saya. Barangkali itu juga faktor kenapa saya tidak berkongsi hantaran (media sosial).

“Istilah sindir badan itu pun baru beberapa tahun dikenali. Alhamdulillah kesedaran itu sudah ada, tapi saya rasa kena laungkan lebih lagi. Kita pun kena matanglah mengenainya,” katanya.

Reviu persembahan, bukan reviu fizikal

Menurut Aizat, dia faham mungkin orang cuba mulakan perbualan dengan gurauan mengenai fizikal. Tapi, katanya masyarakat patut sudah boleh fikir dan perbaiki mengenai situasi itu sekarang.

“Di luar (Malaysia) sana, sudah banyak artis berbadan besar. Tak ada pun isu itu. Sedihlah sebab di Malaysia tak majukan fikiran berhubung isu itu.

“Seperti ketika buat persembahan di Riuh, saya tak fikir pun pasal badan saya. Jadi, saya harap orang akan reviu pasal persembahan kerana bukan senang tarik ribuan penonton ketika itu terhadap artis tempatan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!