Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Jalan di lokasi nahas UPSI disahkan dalam keadaan baik, diselenggara 6 Jun
• Ahmad Maslan nafikan dakwaan jalan berlubang punca tayar pecah
• Kajian MIROS: 80% kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menolak dakwaan bahawa kerosakan jalan menjadi punca nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, awal pagi Isnin lalu.
Menurutnya, jalan tersebut berada dalam keadaan baik walaupun tidak sepenuhnya rata dan telah diselenggara kali terakhir pada 6 Jun, hanya beberapa hari sebelum kejadian. Beliau turut menegaskan dakwaan kononnya tayar bas pecah akibat jalan berlubang adalah tidak benar.
Beliau menyifatkan penyebaran dakwaan sebegitu sebagai tidak wajar dan hanya menimbulkan ketidakpuasan hati kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), sedangkan laluan berkenaan merupakan Jalan Persekutuan yang mempunyai papan tanda amaran selekoh merbahaya.
Adakah jalan rosak jadi punca utama kemalangan?
Ahmad berkata, siasatan patut diserahkan sepenuhnya kepada pasukan khas tanpa membuat tuduhan awal. Beliau turut merujuk kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang menyatakan sebanyak 80% kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu, manakala 13% akibat keadaan jalan, dan 7% berpunca daripada masalah kenderaan.
Dalam kejadian tragis pada awal pagi Isnin, sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Jertih ke kampus mereka di Tanjung Malim terbabas sebelum terbalik berhampiran Tasik Banding, menyebabkan 15 pelajar terkorban.








