Ahli Parlimen Kepong tuntut penjelasan PDRM, bagaimana pegawai polis mampu beli jam tangan Rolex bernilai RM400K - The Reporter

Ahli Parlimen Kepong tuntut penjelasan PDRM, bagaimana pegawai polis mampu beli jam tangan Rolex bernilai RM400K

Beberapa hari lalu media melaporkan seorang wanita bergelar Datuk, yang juga suri rumah telah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan mencuri dua utas jam tangan jenama Rolex.

Wanita berusia 41 tahun itu didakwa mencuri jam tangan Rolex Sky Dweller dan Rolex GMT Master-II 9, milik suaminya yang juga pegawai polis, dalam kejadian tiga tahun lalu.

Semakan mendapati, Sky Dweller berharga RM207,000, manakala GMT Master-II 9 pula berharga RM198,000.

Kemampuan pegawai polis berkenaan membeli dua utas jam tangan itu menimbulkan persoalan ramai pihak. Termasuk Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang meminta polis tampil memberi penjelasan mengenai perkara itu.

“Sekiranya kita melihat kes ini dengan lebih dekat, terdapat beberapa perkara yang menjadi tanda tanya. Antara persoalannya adalah, apakah seorang pegawai polis mampu membeli barangan mewah yang harganya mencecah ratusan ribu ringgit?

“Tambahan pula, baru-baru ini juga kita didedahkan tentang pendapatan polis yang masih berada di takuk lama.

“Orang ramai perlu tahu dari manakah pegawai terbabit mampu memiliki dua jam tangan tersebut. Apakah jam itu dibeli dengan gaji yang diterimanya sebagai pegawai polis atau melalui kaedah lain?

“Sekiranya pihak PDRM hanya berdiam diri di dalam kes ini, ia hanya akan membawa nama buruk kepada PDRM,” katanya memetik laporan daripada MalaysiaKini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan ada pegawai bawahan bersekongkol dengan sindiket jenayah. Akibat kerana terpengaruh dengan imbuhan wang daripada sindiket.

“Bagaimana seorang sarjan boleh memiliki Alphard, Vellfire, Mercedes? Adakah pegawai atasan mereka atau penyelia bertanya bagaimana boleh memiliki kenderaan mewah? Ada buat pengisytiharan harta?

“Ada bos (pegawai atasan) bersama Sarjan pergi beli kereta mewah berdua (guna hasil imbuhan sindiket). Selain turut sama memilih nombor pendaftaran kenderaan mereka,” katanya.

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!