Ahad lalu, program Big Stage musim kelima sudah menemui penonton. Selain membawa kelainan dengan menampilkan pengacara dari negara seberang bergandingan dengan Elly Mazlein, program ini juga mencuri tumpuan apabila penaja utama bagi program terbesar ini ditaja oleh Wawa Cosmetics yang diterajui oleh selebriti dan juga usahawan terkenal, Wawa Zainal dan Aeril Zafril.
Bagi menaja program dikenali ramai ini, bukan jumlah yang sedikit dilaburkan. Wawa dan Aeril dikatakan berhabis jutaan ringgit untuk menaja Big Stage kali ini.
Teruja dipelawa jadi penaja utama
Wawa, 32, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, dia teruja apabila dipelawa menjadi penaja utama kerana beranggapan Big Stage adalah program yang kian dikenali dan mempunyai pengikut tersendiri.
“Diakui sebelum ini kami ada juga mendapat tawaran untuk menaja beberapa program TV lain, tapi mungkin ketika itu masa tidak kena. Selain anggap belum rezeki kami bersama dengan program terbabit.
“Untuk kali ini, kami ditawarkan untuk menaja Big Stage pula. Selepas mempertimbangkan beberapa perkara dan melihat perkembangan program ini dari musim pertama, itu yang saya dan Aeril bersetuju.
“Insya-Allah, dengan sambutan yang diberikan pada program ini, jenama kami juga boleh bergerak seiring,” katanya.
Galas tanggungjawab besar
Menurut Wawa, menjadi penaja juga adalah satu tanggungjawab besar buat dirinya dan jenama yang dibawa.
“Orang mungkin ingat menjadi penaja ini akan popular, tapi ada beban dan tanggungjawab besar perlu kami galas. Kos yang dikeluarkan juga bukan jumlah kecil. Jadi, ia ibarat satu pertaruhan berani daripada Wawa Cosmetics,” katanya.
Wawa juga masih tidak percaya perjalanan mereka sudah sampai ke tahap begitu.
“Alhamdulilah macam mimpi WAWA penaja utama Big Stage tahun ni. Malam tadi i minta Aeril cubit i sebab macam mimpi,” kata Wawa Zaina dalam hantaran di Instagram.
Netizen kritik Aeril & Wawa
Namun begitu, di sebalik kegembiraan mereka berkongsi kejayaan, ada juga yang tidak bersetuju dengan pelaburan yang dibuat oleh pasangan ini.
“Jangan la labur pada hiburan yang melalaikan, labur pada jalan Allah lagi baik,” kata Hapizal Azli.
“Bak kata Ustaz Wadi, orang kaya memang masuk syurga tapi lambat sebab Allah kira hasil kekayaan ketika di bumi dulu. Apa yang dia laburkan ketika di bumi dulu, adakah ke arah kebaikan dan keburukan. Sekiranya 100% labur ke jalan Allah, dia la paling kaya di dunia dan akhirat. Tapi sayang dia laburkan pada perkara maksiat, maka lambat lah hasilnya disana nanti, ” kata Ashraf TE.
“Big Stage, big saham di sana mengalir, kadang pekat tu kena campur air sikit habuan cucu sama,” kata Pak Long Mochi Nara Nara.

Walaupun ada yang mengkritik, namun ada juga yang menyokong tindakan pasangan ini.
“Alhamdulilah, satu contoh artis dari Sabah semangat wanita, semoga dipermudahkan lagi rezekinya,” tulis Aminah Leong.
“Jangan pertikaikan duit orang nak buat apa. Perancangan dan amal jariah dia antara dia dengan Tuhan. Kita sendiri pun bukan duduk sebumbung dengan dia, bersangka baik,” kata Naminah Diran pula.
Sumber: Gempak, IG Wawa Zainal, mStar Online