‘Aduh YB.. dia yang nak bergambar bersama, tahu-tahu jadi bahan kempen pula’ - Sekumpulan anak muda kesal, gambar mereka dimanipulasi oleh pemimpin politik - The Reporter

‘Aduh YB.. dia yang nak bergambar bersama, tahu-tahu jadi bahan kempen pula’ – Sekumpulan anak muda kesal, gambar mereka dimanipulasi oleh pemimpin politik

Sumber gambar: Twitter Tuan Ibrahim Tuan Man

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, memuat naik gambar di Twitter dan mendakwa anak-anak muda yang ditemuinya dalam gambar tersebut memberi isyarat dan petanda mereka akan memberi sokongan kepada pihaknya di Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Di mana-mana saja, bergambar dengan mengangkat tangan gaya Menteri Besar Kedah sudah menjadi suatu ‘kemestian’ bagi aksi gaya bebas semasa bergambar.

“Ketika menghadiri majlis perkahwinan di ISTAC hari ini, anak muda yang ditemui memberi suatu isyarat dan petanda kepada PRN kali ini,” tulisnya pada ciapan tersebut.

Bagaimanapun, sekumpulan anak muda itu terkejut dengan ciapan itu dan menafikan kenyataan pemimpin berkenaan.

Menurut Ahmad Muzhir, dia bersama rakan yang lain terdahulu datang menghadiri majlis perkahwinan kenalan mereka sebelum dihampiri oleh Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempelawa mereka untuk bergambar bersama-sama.

Atas dasar menghormati orang yang lebih berusia dan statusnya sebagai pemimpin, mereka bersetuju dan mengambil gambar dengan gaya bebas mengangkat tangan.

Gambar itu kemudian dimuat naik di Twitter dengan kapsyen yang tidak disangka-sangka dan dipergunakan untuk meraih publisiti di platform tersebut sempena PRN.

“Aduh YB, janganlah macam ni. Kami berada di situ untuk meraikan majlis perkahwinan rakan baik kami.

“Tambahan, YB yang ajak bergambar macam tu, kami hanya berseronok. Macam mana YB boleh cakap itu gaya MB Kedah dan isyarat dan petanda PRN kali ini? Sedangkan di kalangan kami ini ada ahli Harapan dan Barisan dan tidak mengundi pun pada PRN kali ini,” katanya dalam ciapan balas.

Seorang lagi rakannya, Nik Hazrul, juga menjelaskan bahawa, mereka sebelum itu sedang duduk bersembang dan tiba-tiba ahli politik PAS itu datang menghampiri mereka.

“Atas sebab hormat, kami salam dan bergambar macam tu, sebab dia yang minta kami pose macam tu. Tahu-tahu jadi bahan kempen pula,” katanya.

Ramai netizen mengkritik perbuatan pemimpin PAS berkenaan yang dikatakan sanggup mereka cerita yang tidak benar untuk meraih publisiti.

Semakan pada jam 3.23 petang Isnin, 7 Ogos 2023 mendapati, Tuan Ibrahim telah memadamkan ciapan tersebut.

Sumber: Twitter

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!