“Kalau saya pernah ada kes lampau, adakah itu bermakna orang boleh pukul saya sesuka hati?” Itulah persoalan yang dibangkitkan Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, atau lebih dikenali sebagai ‘abang belon’, selepas mendakwa dikasari penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.
Zaimuddin menjelaskan, kejadian berlaku pada 28 Mac lalu berhampiran pusat beli-belah Sogo, ketika dia menjual belon bagi mencari pendapatan tambahan sempena Aidilfitri. Katanya, meskipun dia pernah mempunyai rekod kesalahan, itu tidak patut dijadikan alasan untuk sesiapa pun memperlakukannya dengan kasar.
“Saya cuma nak cari rezeki halal. Saya tak jual dadah, saya jual belon. Tapi saya dilayan macam sampah. Saya pun ada maruah, saya ada keluarga,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia, Ahad.
- Zahirah MacWilson mohon maaf, akui kesilapan sentuh isu agama
- Caprice diarah bayar ganti rugi RM220,000 kepada Ebit Lew serta-merta
- Usia 81 tahun bukan penghalang, warga emas berjaya genggam PhD
- Tular video kekecohan di Desa Tun Razak, sembilan individu ditahan polis
- ‘Usaha jatuhkan pemerintah yang adil adalah perbuatan Khawarij’ – Syeikh Wazir
Menurutnya, dia kini bekerja sebagai kedi di sebuah kelab golf, dan berniaga kecil-kecilan di waktu lapang demi menampung keperluan menjelang perayaan. Namun tindakan itu berakhir dengan kekasaran yang mengejutkan.
“Saya miskin, saya ada masa silam. Tapi itu bukan lesen untuk DBKL atau sesiapa pun sepak, terajang, cekup leher saya. Saya akan lawan demi harga diri dan keluarga,” ujarnya.
Insiden tersebut menjadi perhatian ramai selepas dua rakaman video tular di media sosial menunjukkan berlaku kekecohan antara penguat kuasa DBKL dan beberapa peniaga jalanan yang cuba mempertahankan barangan mereka.
Zaimuddin mendakwa dia mengalami kecederaan dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat kejadian itu. Zaimuddin turut menyeru agar pihak berkuasa lebih berintegriti dan menjalankan tugas mengikut undang-undang, bukan bertindak sesuka hati terhadap golongan kurang berkemampuan.








