Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam rancangan Malaysia untuk menghantar pulang pelarian Myanmar, selain memberi amaran bahawa keadaan di negara itu masih belum selamat untuk kepulangan mereka.
Menurut UNHCR, konflik bersenjata dan keganasan yang masih berlaku di Myanmar menyebabkan kepulangan pelarian ketika ini tidak dapat dianggap selamat, bermaruah dan mampan.
Kenyataan itu diberikan UNHCR kepada Reuters melalui e-mel susulan pengumuman kerajaan Malaysia mengenai program penghantaran pulang secara sukarela membabitkan pelarian Myanmar.
Kementerian Dalam Negeri sebelum ini memaklumkan fasa pertama program berkenaan dimuktamadkan dengan seramai 1,476 individu dijadualkan dihantar pulang ke Myanmar pada 29 September.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini turut memaklumkan Myanmar bersetuju menerima semula sehingga 5,000 pelarian Rohingya, ketika isu berkaitan kehadiran pelarian dalam komuniti tempatan Malaysia semakin mendapat perhatian.
UNHCR menegaskan bahawa berdasarkan undang-undang antarabangsa lazim, seseorang tidak seharusnya dihantar ke negara yang boleh menyebabkan hak atau kebebasan mereka terancam.
Baca juga:
- UNHCR beri amaran, keadaan Myanmar masih tidak selamat untuk pelarian pulang
- Lelaki cetus provokasi sambutan Hari Kebangsaan dicari polis
- Akmal gesa kerajaan tegas isu bendera terbalik
Agensi itu turut menegaskan bahawa sebarang kepulangan pelarian mestilah dilakukan secara sukarela, berdasarkan keputusan yang dimaklumkan dengan secukupnya serta dalam keadaan selamat dan bermaruah.
“UNHCR menggesa supaya keperluan perlindungan semua pihak yang terbabit dipertimbangkan dengan teliti sebelum mereka dihantar pulang ke Myanmar,” menurut kenyataan itu.
UNHCR pada masa sama berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam soal perlindungan dan langkah keselamatan bagi mereka yang terlibat dalam proses kepulangan.
Ribuan pelarian telah melarikan diri dari Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan konflik bersenjata di seluruh negara.
Berdasarkan data UNHCR sehingga akhir Februari 2026, terdapat kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar di Malaysia, dengan sekitar 193,824 daripadanya berasal dari Myanmar, termasuk Rohingya, Chin dan kumpulan etnik lain dari kawasan yang terjejas konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan.









