Dr Solehah Yaacob bawa kes penamatan perkhidmatan UIAM ke Mahkamah Perusahaan | The Reporter

Dr Solehah Yaacob bawa kes penamatan perkhidmatan UIAM ke Mahkamah Perusahaan

Dr Solehah Yaacob mencabar keputusan penamatan perkhidmatannya oleh UIAM
Gambar: Facebook Solehah Yaacob

Dr Solehah Yaacob akan mencabar keputusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menamatkan perkhidmatannya sebagai pensyarah dan berhasrat membawa kes berkenaan ke Mahkamah Perusahaan.

Memetik laporan FMT, beliau mendakwa keputusan penamatan itu dibuat secara tidak profesional selepas perkhidmatannya ditamatkan dalam tempoh 24 jam tanpa diberi peluang untuk membuat rayuan.

“Saya dipecat dalam tempoh 24 jam dan tidak dibenarkan buat rayuan,” katanya.

Menurut Solehah, UIAM turut menawarkan bayaran pampasan bersamaan enam bulan gaji, namun tawaran itu ditolaknya.

Sebelum ini, UIAM memaklumkan perkhidmatan Solehah sebagai kakitangan akademik tamat berkuat kuasa 27 April 2026. Sehubungan itu, beliau bukan lagi profesor di universiti berkenaan dan tidak dibenarkan mendakwa mempunyai sebarang kaitan dengan UIAM.

Baca juga:

Universiti itu turut menegaskan bahawa penggunaan sebarang gelaran, jawatan, Kulliyyah, Pusat, Institut atau Jabatan yang dikaitkan dengan UIAM tidak dibenarkan dalam bahan promosi, laporan media, penerbitan, iklan, kandungan media sosial atau bahan publisiti.

Solehah bagaimanapun mendakwa tindakan UIAM itu tidak profesional, khususnya selepas beliau menerima anugerah Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sehari sebelum penamatan perkhidmatannya.

MyRA merupakan instrumen yang digunakan untuk menilai prestasi penyelidikan institusi pengajian tinggi di negara ini.

Solehah sebelum ini menjadi perhatian susulan beberapa pandangan kontroversi berkaitan sejarah dan tamadun Melayu, termasuk dakwaan bahawa orang Rom mempelajari ilmu pembuatan kapal daripada orang Melayu serta mendapan bijih besi di Malaysia berpunca daripada hentaman meteor.

Related Posts