Hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terhadap komuniti antarabangsa berkaitan operasi Network School di Forest City, Johor mendapati majoriti warga asing yang disiasat memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada 266 warga asing yang diperiksa, seramai 256 individu memiliki Pas Lawatan Sosial manakala 10 lagi memegang Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) kategori Nomad.
Beliau berkata, pemegang PLIK Nomad terbabit terdiri daripada empat warga Amerika Syarikat, tiga warga Rusia, dua warga Australia dan seorang warga India. Pemeriksaan itu turut melibatkan dua warganegara Malaysia.
“Daripada keseluruhan warga asing yang diperiksa, 179 adalah lelaki dewasa manakala 87 lagi wanita dewasa,” katanya.
Baca juga:
- Kucing jadi mangsa perbuatan tidak senonoh lelaki berjaya diselamatkan
- JAKIM jalankan siasatan menyeluruh isu penyembelihan ayam tular
- Anwar respons teguran hadir persembahan Siti Nurhaliza
Sebelum ini, Zakaria dilaporkan berkata pihak Imigresen belum menemui bukti yang mengesahkan dakwaan berkaitan kehadiran individu berkewarganegaraan Israel dalam program Network School. Bagaimanapun, siasatan bersama agensi lain masih diteruskan.
Terdahulu, isu Network School di Forest City mendapat perhatian selepas timbul dakwaan di media sosial mengenai penglibatan warga asing termasuk individu yang didakwa memiliki kewarganegaraan Israel serta memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua. Susulan itu, Kerajaan Johor menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap identiti, dokumen perjalanan, jenis pas dan tujuan kemasukan individu terbabit.








