Seorang YouTuber dan pengkritik sukan bola sepak mengalami kecederaan parah selepas diserang dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, Sabtu lalu.
Dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi media sosial, beliau memaklumkan kejadian berlaku pada 11 Julai kira-kira jam 7.24 malam di stesen minyak, Sri Damansara.
Beliau berkata, serangan itu menyebabkan dirinya mengalami patah tulang mata selain beberapa kecederaan lain pada badan.
“Pada 11 Julai jam 7.24 malam, saya telah diserang oleh dua lelaki di stesen minyak di Sri Damansara.
“Saya mengalami patah tulang mata serta beberapa kecederaan pada badan. Laporan polis telah dibuat dan kes kini sedang dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 40-an ketika itu sedang mengisi angin tayar kenderaannya sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal Yamaha LC.
“Suspek bertindak memukul mangsa berkali-kali sebelum merakam video kejadian dan melarikan diri dari lokasi.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami patah tulang mata serta beberapa kecederaan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga:
- YouTuber, pengkritik bola sepak patah tulang mata dipukul dua individu tidak dikenali
- ‘Perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya’ – Syed Saddiq luah rasa syukur
- Keputusan majoriti 2-1 memihak Syed Saddiq, kekal bebas daripada pertuduhan
Shamsudin berkata, motif kejadian masih dalam siasatan, manakala usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412 bagi membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro, X Joe Zakaria









