Pelajar Tingkatan Enam meninggal dunia selepas rebah ketika berbaris orientasi kokurikulum | The Reporter

Pelajar Tingkatan Enam meninggal dunia selepas rebah ketika berbaris orientasi kokurikulum

Keluarga mangsa berada di perkarangan Hospital Melaka.
Gambar: Facebook JPN Melaka

Seorang pelajar lelaki Tingkatan Enam meninggal dunia selepas rebah ketika mengikuti sesi orientasi kokurikulum di sebuah sekolah menengah di Jalan Chan Koon Cheng, Melaka pada Khamis.

Memetik laporan Buletin TV3, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu berlaku ketika mangsa yang berusia 18 tahun sedang berbaris di koridor kelas bersama rakan-rakannya bagi menghadiri sesi orientasi kokurikulum sebelum didapati rebah.

Beliau berkata, guru yang menyedari kejadian itu segera menghubungi ambulans sebelum mangsa dibawa ke Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri dan lemah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 68 minit, namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.11 malam.

Baca juga:

Halim berkata, hasil temu bual dengan ibu mangsa mendapati pelajar berkenaan tidak mempunyai sejarah penyakit atau sebarang masalah kesihatan. Mangsa yang juga anak sulung daripada dua beradik itu baharu tiga minggu mengikuti pengajian Tingkatan Enam di sekolah berkenaan selain aktif dalam kegiatan sukan.

Beliau berkata, laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat Coronary Artery Anomalies atau keabnormalan saluran arteri koronari. Siasatan polis turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Related Posts