Logo RTM dalam hantaran PH: Anwar sedia perbetulkan jika benar berlaku | The Reporter

Logo RTM dalam hantaran PH: Anwar sedia perbetulkan jika benar berlaku

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjawab isu logo RTM dalam hantaran PH di Dewan Rakyat
Perdana Menteri menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bersedia memperbetulkan sebarang kenyataan sekiranya benar terdapat laporan yang mengaitkan kenyataannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dengan penggunaan logo Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau bagaimanapun berkata tidak mengikuti sepenuhnya isu berkenaan, namun menegaskan kenyataan asal yang dibuatnya tidak mengandungi sebarang kesalahan.

“Kalau itu benar, kita boleh betulkan. Tapi kenyataan saya itu dilaporkan, saya tak rasa salah. Cuma isunya logo RTM, saya setuju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Fadhli mempersoalkan penggunaan logo RTM dalam bahan promosi program politik PH, sambil mengaitkannya dengan indikator kebebasan media yang ditetapkan oleh Reporters Without Borders (RSF).

Beliau turut membangkitkan isu pemilikan dan pengaruh politik terhadap media yang didakwa menjadi antara faktor menyebabkan kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media terjejas.

Baca juga:

Ahmad Fadhli juga mempersoalkan sama ada kerajaan bersetuju bahawa media milik kerajaan tidak seharusnya digunakan untuk tujuan kempen politik partisan.

Beliau memberi contoh program ceramah umum PH bertajuk ‘Keadilan untuk Bangsa Johor’ pada 15 Jun 2026 yang dimuat naik di Facebook Perdana Menteri dengan penggunaan logo RTM.

Menurutnya, RTM wajar digunakan bagi liputan rasmi Perdana Menteri, namun tidak sepatutnya digunakan sebagai instrumen bagi aktiviti parti politik.

Lapor kepada MCMC

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan terhadap penyebaran berita atau fitnah di platform media sosial, Anwar berkata aduan boleh dibuat terus kepada platform berkenaan atau kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut beliau, sekiranya terdapat asas dan hujah yang kukuh, MCMC boleh mengemukakan laporan kepada penyedia platform untuk tindakan lanjut.

“Ada juga usul yang kita bawa dan MCMC bawa yang tidak dipadamkan. Ia tidak automatik tertakluk kepada kuasa kita,” katanya.

Anwar berkata keadaan itu berbeza dengan pendekatan sesetengah negara seperti China yang memilih untuk mengharamkan terus aplikasi TikTok, namun Malaysia tidak mengambil langkah sedemikian.

Related Posts