Dua rakyat Malaysia cedera, kenderaan dinaiki terkena letupan bom di Tak Bai | The Reporter

Dua rakyat Malaysia cedera, kenderaan dinaiki terkena letupan bom di Tak Bai

Dua rakyat Malaysia cedera selepas letupan bom di Tak Bai Narathiwat Thailand
Gambar: Facebook Rantau Panjang Post.

Dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dipercayai terkena letupan bom ketika melalui kawasan berhampiran Kampung Phrai Wan, Mukim Phrai Wan, Daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat, Thailand pada Isnin.

Akibat letupan itu, kedua-dua lelaki terbabit mengalami kecederaan sebelum dibawa ke hospital berhampiran oleh pihak berkuasa Thailand untuk menerima rawatan lanjut.

Susulan kejadian itu, pasukan keselamatan dan penyelamat bergegas ke lokasi bagi memberikan bantuan kepada mangsa, mengawal kawasan kejadian serta melancarkan aliran trafik.

Memetik laporan Info Kemalangan dan Bencana Malaysia, Unit Pemusnah Bom (EOD) bersama pasukan forensik turut dikerahkan bagi menjalankan pemeriksaan rapi dan mengumpul bukti untuk mengenal pasti serta mengesan individu yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut.

Pihak berkuasa Thailand memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan dan perkembangan terkini akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Bagi membolehkan siasatan dijalankan, laluan di kawasan kejadian ditutup sepenuhnya bermula dari Persimpangan Sapom hingga ke Kampung Saba Baharu, Daerah Tak Bai, sementara pasukan keselamatan menjalankan pemeriksaan terperinci.

Baca juga:

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang membabitkan sebuah Proton X50 dipandu rakyat Malaysia.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara perjalanan ke Thailand sehingga keadaan keselamatan di kawasan berkenaan kembali terkawal.

Dalam perkembangan sama, maklumat terkini yang dikongsikan Rantau Panjang Post memaklumkan kedua-dua mangsa merupakan warganegara Malaysia yang berada di kawasan tersebut sebagai pelawat.

Mangsa pertama dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, yang mengalami kecederaan di bahagian dahi, kepala dan tangan kiri, selain kecederaan serius pada paha kiri. Dia dilaporkan berada dalam keadaan sedar.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Yusri Udin, 38, mengalami kecederaan pada lengan kanan dan jari tangan kiri, juga dilaporkan berada dalam keadaan sedar.

Sumber: Sinar Harian, Info Kemalangan dan Bencana Malaysia, Rantau Panjan Post

Related Posts