Pengerusi MARA, Datuk Dr Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan bahawa bermula 1 Julai ini, warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera akan mula melaporkan diri di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih termasuk MRSM Muar. Pelaksanaan ini diharap dapat memperkukuh disiplin pelajar serta membendung kes-kes buli.
Menurut beliau, pelaksanaan ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui anak syarikat Glokal Link Sdn. Bhd. (GLSB) bersama Bahagian Pendidikan Menengah MARA, JHEV, TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Proses pemilihan turut melibatkan beberapa peringkat tapisan yang ketat sebelum calon dipanggil ke sesi temuduga fizikal.
Katanya, seramai 147 calon lelaki telah menghadiri temuduga fizikal yang berlangsung pada 15 dan 16 Jun 2026 di INTEM, Kepong. Mereka telah melalui pelbagai penilaian termasuk ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan BMI, bleep test serta temuduga bersemuka oleh panel pelbagai agensi bagi memastikan kesesuaian sebagai warden asrama.
Baca juga:
- Dua rakyat Malaysia cedera, kenderaan dinaiki terkena letupan bom di Tak Bai
- Bekas tentera lapor diri sebagai warden sepenuh masa di lapan MRSM mulai 1 Julai
- JAKIM gesa semua buku agama disemak pihak berautoriti, elak kesilapan kandungan
Calon lalui pelbagai tapisan
Selain itu, setiap calon turut melalui semakan latar belakang ketat termasuk semakan rekod jenayah melalui Polis Diraja Malaysia, semakan Daftar Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta penilaian psikologi yang menekankan aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan impuls, integriti dan risiko salah laku. Tapisan awal juga melibatkan pengesahan status veteran ATM melalui JHEV dan TalentCorp.
Tambahnya, seramai 32 warden akan ditempatkan di lapan MRSM, iaitu masing-masing dua lelaki dan dua wanita setiap pusat, dengan 16 warden lelaki mula bertugas pada 1 Julai, manakala pelantikan warden wanita akan menyusul selepas proses penilaian selesai.
Program ini turut melibatkan pelaksanaan berfasa yang lebih luas, termasuk projek rintis di dua MRSM iaitu MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau sejak tahun lalu sebelum diperluaskan ke 58 MRSM di seluruh negara menjelang 2027, dengan setiap MRSM menempatkan empat warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pelaksanaan ini dibuat secara berfasa, teliti dan berintegriti bagi memastikan hanya calon yang benar-benar layak, bersih serta berkeupayaan ditempatkan sebagai warden. Langkah ini diharap dapat memperkukuh keselamatan, kesejahteraan serta keyakinan ibu bapa terhadap sistem asrama MRSM di seluruh negara.









