PU Syed kesal 20kg daging korban berbau dihantar ke Madrasah | The Reporter

PU Syed kesal 20kg daging korban berbau dihantar ke Madrasah

PU Syed berkongsi mengenai sumbangan daging korban yang didakwa berbau dan rosak sehingga terpaksa ditanam di Kompleks Pendidikan Baitul Dhiya'.
Daging korban yang telah dihantar ke Kompleks Pendidikan Baitul Dhiya’ akhirnya terpaksa ditanam. Gambar: Facebook PU Syed

Pendakwah bebas, PU Syed meluahkan rasa kecewa selepas menerima kira-kira 20 plastik daging korban yang didakwa sudah rosak dan tidak lagi sesuai untuk dimakan.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau memaklumkan sumbangan daging tersebut dihantar ke Kompleks Pendidikan Baitul Dhiya’ pada petang semalam, namun tukang masak mendapati keadaan daging berkenaan sudah mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan serta kelihatan kehitaman.

Menurutnya, individu yang menghantar daging tersebut memaklumkan bau berkenaan berpunca daripada darah, namun keadaan fizikal daging itu menimbulkan keraguan terhadap tahap kesegarannya.

PU Syed turut menjelaskan bahawa ketika sumbangan itu diterima, tarikh sudah memasuki 7 Muharam, iaitu hampir sebulan selepas ibadah korban dilaksanakan pada Aidiladha lalu.

Baca juga:

Beliau menegaskan pihak kompleks sentiasa bersyukur menerima sumbangan daripada orang ramai, namun berharap setiap pemberian dibuat dalam keadaan yang masih elok, berkualiti dan sempurna untuk dimanfaatkan oleh para pelajar serta penghuni madrasah.

Dalam hantaran sama, beliau turut mengingatkan masyarakat tentang kepentingan memberikan sesuatu yang terbaik ketika bersedekah dengan memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 92 yang menyeru umat Islam mendermakan sebahagian daripada apa yang disayangi bagi mencapai hakikat kebajikan yang sebenar.

Akibat keadaan daging yang tidak lagi sesuai digunakan, PU Syed memaklumkan hampir 20 kilogram daging korban yang diterima terpaksa ditanam bagi mengelakkan sebarang risiko kepada kesihatan.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Berilah sesuatu yang terbaik, bukan sisa-sisa kepada mana-mana madrasah,” katanya.

Related Posts