Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan sebuah surau Jumaat yang lebih selesa di kawasan Bukit Bintang bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah di kawasan tumpuan pelancongan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu antara inisiatif memperkukuh kemudahan ibadah di kawasan bandar yang padat dengan aktiviti ekonomi dan pelancongan.
Menurut beliau menerusi hantaran di Facebook, ketika ini terdapat pusat gerakan dikenali sebagai Oasis Outreach Bukit Bintang di kawasan berkenaan yang menjadi antara titik tumpuan aktiviti komuniti Islam setempat.
Tambah beliau, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri turut memperluaskan usaha sama di beberapa kawasan lain termasuk Chow Kit.
Baca juga:
- Kerajaan rancang wujudkan surau Jumaat selesa di Bukit Bintang
- MBKT kompaun penganjur acara hiburan langgar syarat lesen
- ‘Siapa kata pejuang sumud tiada taring?’ – Syed Saddiq
Beliau memaklumkan bahawa Bangunan Yayasan Selangor yang terletak di persimpangan Bukit Bintang berpotensi untuk dijadikan surau atau masjid sekiranya tiada halangan.
“Jika tiada aral, Bangunan Yayasan Selangor yang terletak betul-betul di persimpangan “Shibuya” Bukit Bintang akan dijadikan sebagai surau atau masjid.
“Usaha juga diperluas ke Chow Kit dan kawasan lain, dengan visi jangka panjang membina masjid tersergam indah untuk memudahkan umat Islam beribadah, insya-Allah.
Kita usahakan sebaiknya,” katanya.
Usaha ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi agama termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam memperkukuh gerakan dakwah dan kebajikan.
Zulkifli turut menjelaskan bahawa usaha dakwah lapangan di kawasan Bukit Bintang dan Chow Kit telah digerakkan sejak dua tahun lalu sebagai pendekatan mendekati masyarakat di kawasan tumpuan.









