Hampir empat dekad berbakti, layanan mesra Uncle Sri jadi ingatan warga UPM | The Reporter

Hampir empat dekad berbakti, layanan mesra Uncle Sri jadi ingatan warga UPM

Anggota Polis Bantuan UPM dikenali sebagai Uncle Sri
Uncle Sri terus jadi ingatan warga UPM. Gambar: Facebook UPM

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


‘Selamat pagi!’ dan ‘Apa khabar?. Dua sapaan mesra itu mungkin kedengaran biasa, tetapi bagi warga Universiti Putra Malaysia (UPM), ia cukup sinonim dengan kelibat seorang insan yang dikenali sebagai ‘Uncle Sri’.

Selepas 37 tahun menabur bakti sebagai anggota Polis Bantuan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Sri Kantha Rao a/l Sani Babu atau lebih mesra dipanggil Uncle Sri akhirnya menamatkan perkhidmatannya pada 1 Mei 2026. Keputusan itu dibuat bagi memberi fokus kepada kesihatan serta meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Menerusi perkongsian di Facebook UPM, sepanjang hampir empat dekad berkhidmat, Uncle Sri bukan sekadar bertugas mengawal keselamatan, tetapi menjadi wajah pertama yang menyambut warga kampus setiap hari. Sikapnya yang ramah, mudah tersenyum dan ringan tulang menjadikan beliau dikenali ramai, daripada staf universiti hinggalah kepada ribuan pelajar yang silih berganti.

Lebih daripada sekadar tugas hakiki, beliau turut dikenang kerana sering membantu pelajar dalam pelbagai perkara kecil, termasuk menjelaskan kefahaman tesis dalam Bahasa Inggeris walaupun itu bukan dalam skop kerjanya. Bagi Uncle Sri, bantuan sekecil itu sudah cukup memberi makna besar kepada perjalanan akademik seseorang pelajar.

Baca juga:

Dedikasi dan keikhlasannya itu pernah mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Penghargaan Khas Kualiti Perkhidmatan Pelanggan sempena Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) pada tahun 2018.

Sepanjang 37 tahun di UPM, beliau juga menyaksikan perubahan besar landskap kampus daripada kawasan sawah dan ladang kepada sebuah kampus moden yang serba lengkap seperti hari ini. Perubahan itu menjadi saksi kepada perjalanan panjang seorang penjaga pintu yang setia melihat generasi demi generasi pelajar datang dan pergi.

Kini selepas bersara, Uncle Sri mengisi hari-harinya dengan berkebun, bersenam dan meluangkan masa bersama keluarga. Malah, beliau turut merancang untuk melancong ke luar negara pada tahun hadapan.

Walaupun sudah melangkah pergi, sapaan mesra “Selamat pagi!” Uncle Sri pasti terus kekal dalam ingatan ramai warga kampus sebagai simbol keramahan dan dedikasi yang tidak mudah diganti.

Related Posts