GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan | The Reporter

GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan

SNCC memaklumkan 10 delegasi Malaysia telah ditahan.
Gambar: Facebook Sumud Nusantara Official.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pusat Komunikasi dan Koordinasi Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan bahawa 10 rakyat Malaysia telah ditahan dalam insiden membabitkan kapal Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.

Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada 186 aktivis kemanusiaan yang menyertai misi flotilla berkenaan. Mereka berada di lokasi kejadian ketika kapal-kapal misi dihampiri secara agresif oleh kapal tentera rejim Zionis Israel (IOF) semasa pelayaran menuju Gaza.

Antara nama delegasi Malaysia yang terlibat ialah Zainal Rashid Bin Ahmad (ZRA), Osman Bin Zolkifli, Dr. Jihan Alya Binti Mohd Nordin, Mohd Shamsir Bin Mohd Isa, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Bin Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Bin Kamaruzaman, Norhelmi Bin Ab Ghani, Mohd Redzal Bin Amzah dan Muhamad Muhsin Bin Zaidi.

SNCC memaklumkan insiden berlaku antara jam 1.00 pagi hingga 11.00 pagi waktu Malaysia (6.00 petang hingga 4.00 pagi waktu Greece), ketika flotilla berada kira-kira 656 batu nautika dari Pantai Gaza di zon perairan antarabangsa yang sah di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Menurut SNCC, pihak IDF didakwa melakukan provokasi termasuk melepaskan tembakan amaran (warning shots) serta mengganggu frekuensi radio yang digunakan oleh aktivis tidak bersenjata di atas kapal-kapal misi tersebut.

Baca juga:
22 kapal dipintas, komunikasi terputus

SNCC turut mengesahkan sebanyak 22 kapal flotilla telah dipintas, diceroboh dan terputus hubungan dalam insiden berkenaan. Antara kapal yang terlibat termasuk Saf Saf, Arkham III, Bella Blue, Romantica, Goleta, Eros I, Esplai, Mystere, Magic Boat, Ghea, Snap, Eros, Tam Tam, Nagual, Lapinya, Bianca BCN, Freia, Batolo, Bribon, Marea, Malia dan Holy Blue.

Daripada jumlah itu, enam kapal dilaporkan ditahan serta diceroboh yang melibatkan 10 rakyat Malaysia yang kini terputus hubungan.

Dron tidak dikenalpasti dikesan

SNCC turut memaklumkan kehadiran puluhan dron tidak dikenalpasti yang dikesan beroperasi di sekitar kawasan flotilla semasa insiden berlaku. Dron tersebut dipercayai digunakan untuk pemantauan serta gangguan komunikasi dan pergerakan kapal.

Selain itu, SNCC mendakwa rakaman audio dan visual menunjukkan terdapat penggunaan naratif tidak tepat oleh pihak tentera Israel bagi menjelaskan tindakan mereka, sedangkan baki flotilla masih berada di laluan perairan antarabangsa tanpa melanggar sebarang peraturan maritim.

Seruan solidariti dan pemantauan

Sehubungan itu, SNCC menyeru rakyat Malaysia untuk terus menunjukkan solidariti terhadap misi berkenaan termasuk melaksanakan solat hajat serta Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan semua delegasi yang terlibat.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa flotilla melalui sistem penjejakan langsung di sntracker.sumudnusantara.com bagi pemantauan masa nyata.

SNCC menegaskan bahawa pusat tersebut kekal sebagai sumber sahih maklumat bagi mengelakkan penyebaran berita tidak tepat atau propaganda berkaitan insiden berkenaan.

Related Posts