Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar melahirkan kekesalan terhadap kenyataan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan berhubung keengganan republik itu untuk terlibat dalam rundingan dengan Iran berkaitan laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Menurut beliau, kenyataan tersebut tidak mencerminkan pendekatan berhati-hati, sebaliknya menggambarkan pendirian strategik yang sempit serta lebih cenderung menyelaraskan kepentingan dengan kuasa luar berbanding tanggungjawab serantau dan prinsip undang-undang antarabangsa.
Dalam kenyataannya, Nurul Izzah turut mendakwa Iran menjadi sasaran tindakan yang disifatkan sebagai jenayah perang oleh Amerika Syarikat dan Israel, yang mengakibatkan kehilangan nyawa awam serta kemusnahan infrastruktur. Beliau berkata, kawalan Iran ke atas laluan strategik itu dilihat sebagai usaha ke arah mencapai keamanan yang berkekalan.
Prinsip diplomasi
Beliau menegaskan bahawa Malaysia secara konsisten mempertahankan prinsip diplomasi sebagai jalan utama dalam menangani konflik. Penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu berkenaan, katanya, bertujuan memastikan kestabilan serantau, keselamatan tenaga serta melindungi kepentingan Asia Tenggara secara keseluruhan.
Tambahnya, sebarang kenyataan yang memperkecilkan usaha tersebut, walaupun secara tersirat, boleh menjejaskan pendekatan diplomasi yang sekian lama menjadi asas kepada keamanan di rantau ini.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Potensi hakis komitmen ASEAN
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berpandangan bahawa pendirian Vivian Balakrishnan dilihat kurang mencerminkan sikap berkecuali, sebaliknya lebih kepada mengulangi keutamaan strategik kuasa besar yang tidak semestinya selari dengan kepentingan rantau Asia Tenggara. Keadaan itu, katanya, berpotensi menghakis komitmen ASEAN terhadap diplomasi bebas dan seimbang.
“Malaysia menegaskan pendirian untuk terus memilih pendekatan dialog dan penglibatan aktif dalam menangani konflik, berbanding menjauhkan diri, kerana sejarah membuktikan tindakan memutuskan hubungan hanya akan meningkatkan ketegangan dan menggugat kestabilan,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun mengakui setiap pihak berhak mempertahankan pendirian masing-masing, namun mengingatkan bahawa penyelarasan secara tidak langsung dengan naratif kuasa besar tidak wajar dianggap sebagai berkecuali yang berprinsip.
Dalam masa sama, Nurul Izzah menegaskan Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh diplomasi serantau secara bebas, jelas dan berkeyakinan, khususnya dalam mendepani ketegangan global semasa.
Terdahulu, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, menegaskan bahawa republik itu tidak akan berunding untuk mendapatkan laluan selamat di Selat Hormuz kerana berpegang kepada prinsip bahawa laluan transit di selat antarabangsa merupakan satu hak di bawah undang-undang antarabangsa, bukannya satu keistimewaan.








