Pelajar tingkatan tiga maut selepas pamer aksi wheelie | The Reporter

Pelajar tingkatan tiga maut selepas pamer aksi wheelie

Pelajar tingkatan 3 maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan semasa aksi wheelie.
Gambar: Utusan Malaysia.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pelong, Muhammad Aidil Rayqal Azman, 15, maut selepas motosikal jenis Honda C100 yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kampung Pelong, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.45 petang ketika mangsa dan dua rakannya dalam perjalanan dari sekolah ke simpang empat Kampung Sungai Pelong-Kampung Sungai Tong.

Baca juga:

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan atau aksi wheelie. Motosikal mangsa dikatakan melanggar bahagian tempat duduk salah sebuah motosikal rakannya, menyebabkan kedua-duanya terjatuh ke bahu jalan.

“Pada masa sama, seorang lagi rakan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kepala mangsa yang berada di atas jalan,” katanya.

Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Tong dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mohd. Zain menasihatkan golongan remaja supaya tidak melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Sumber: Utusan

Related Posts