Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar, menggesa agar undang-undang diperkasakan supaya pampasan (diyat) dapat disalurkan kepada waris mangsa dengan lebih cepat dan efisien.
Menurutnya, hukuman penjara sahaja tidak mampu menyara anak yatim dan isteri yang kehilangan punca nafkah, justeru tindakan undang-undang yang lebih tegas diperlukan untuk memastikan waris menerima hak mereka tanpa membebankan.
“Kes pemandu mabuk: Hukuman penjara tidak mampu menyara anak yatim dan isteri yang hilang punca nafkah. Undang-undang perlu diperkasakan agar pampasan (diyat) sampai kepada waris dengan cepat tanpa membebankan,” katanya.
Gesaan Ustaz Wadi itu hadir susulan kejadian tragis di Jalan Raya Barat, Klang di mana seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh oleh seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah pada Ahad pagi.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan mahu membeli makanan untuk isteri dan anak-anak.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, siasatan awal mendapati pemandu kereta jenis Honda City berusia 20-an memandu secara laju dan membahayakan, memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
Mangsa, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, tercampak ke atas sebuah kereta Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. Hasil ujian saringan mendapati pemandu kereta positif alkohol dan dadah. Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.








