Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki dipercayai pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditemui meninggal dunia di dalam longkang berhampiran padang di Jalan Menglembu Impiana 12, Taman Menglembu Impiana Adril, Ipoh, pada Ahad.
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa ditemui kira-kira 30 meter dari rumahnya selepas disedari seorang jiran yang mahu meletakkan kenderaan di kawasan berkenaan sekitar jam 11.20 pagi.
Saksi kejadian yang dikenali sebagai Mani, 58, berkata, pada awalnya dia menyangka keretanya terlanggar objek kecil ketika memarkir kenderaan.
“Apabila saya turun dari kereta, saya nampak seperti lampu suluh. Masa itu barulah saya perasan ada seorang lelaki berada di dalam longkang dengan muka berlumuran darah,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian mendapatkan bantuan rakan sebelum menghubungi pihak polis.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan lelaki tempatan itu kira-kira jam 11.45 pagi.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi mendapati mangsa berada dalam keadaan terlentang di dalam longkang dengan kesan darah di bahagian mulut.
“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian adalah kecederaan di kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.








