Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tiga buah kereta milik seorang individu dikenali sebagai Cikgu Chandra dilaporkan terbakar dalam satu kejadian awal pagi tadi di kawasan kediamannya.
Menurut perkongsian aktivis dakwah, Firdaus Wong Wai Hung, kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi sebelum pihak polis dan pasukan bomba tiba di lokasi bagi memadamkan kebakaran serta mengawal keadaan.
“Awal pagi tadi dalam pukul 3.00 lebih, mereka membakar ketiga-tiga buah kereta Cikgu Chandra! Mujur polis dan bomba sampai cepat untuk memadamkan api dan mengawal keadaan,” katanya.
Dalam kenyataan dimuat naik di media sosial, Firdaus turut mendakwa bahawa sebelum insiden tersebut, sekumpulan lelaki tidak dikenali yang menaiki tiga buah kereta dilaporkan cuba mendekati kediaman mangsa. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai kejadian itu masih belum dapat dipastikan.

Polis kawal kediaman dan keluarga Cikgu Chandra
Menurut beliau, Cikgu Chandra menghubunginya sekitar jam 5.30 pagi bagi memaklumkan bahawa pihak polis telah berada di kawasan kediamannya dan meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar rumah bagi memastikan keselamatan beliau serta ahli keluarganya.
Firdaus dalam masa sama menyatakan keyakinan bahawa pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Ketika Cikgu Chandra menghubungi saya pada 5.30am tadi, dia memaklumkan pihak polis mengawal kawasan persekitaran rumahnya dan menjaga keselamatan keluarganya.
“Saya yakin PDRM bakal menangkap suspek, dalang serta penghasut dalam waktu terdekat ini. Jangan marah polis kerana mereka sedang menjalankan tugas mereka,” ujarnya.
PAS Selangor sedia beri sokongan buat Cikgu Chandra
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar memaklumkan beliau telah menghubungi Cikgu Chandra dan menyatakan kesediaan pihaknya untuk memberikan sokongan serta bantuan kepada individu berkenaan.
Menurut Sukri, Cikgu Chandra tidak bersendirian dalam menghadapi situasi tersebut dan pihak Pemuda PAS Selangor akan sedaya upaya membantu serta memberikan sokongan yang diperlukan.
Beliau dalam masa sama menegaskan bahawa sebarang tindakan yang mengancam keselamatan individu termasuk perbuatan membakar kenderaan merupakan satu kesalahan jenayah yang tidak boleh dipandang ringan.
Tambahnya, tindakan tegas mengikut undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.








