Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, hari ini mengumumkan beliau menarik balik rayuan terhadap pemecatan beliau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuatkuasa serta-merta.
Dalam kenyataan yang dihantar kepada Pengerusi Lembaga Rayuan BERSATU, Wan Saiful merujuk kepada suratnya bertarikh 22 Disember 2025 dan pertemuan dengan Lembaga Rayuan pada 3 Februari 2026.
Beliau menjelaskan bahawa sekiranya rayuannya dipertimbangkan sepenuhnya berdasarkan merit, keputusan yang paling munasabah sepatutnya ialah membatalkan pemecatan beliau dan mengembalikan semua hak serta jawatan.
“Terima kasih kepada semua ahli Lembaga Rayuan yang, pada pandangan saya, bersikap profesional dan telus, berbeza dengan sikap ahli-ahli Lembaga Disiplin,” kata Wan Saiful.
Baca juga:
- ‘BERSATU sudah tiada masa depan’ – Wan Saiful
- Hamzah Zainuddin dipecat keahlian BERSATU serta-merta
- ‘UMNO dan Pas perlu mulakan penyatuan di Melaka’ – Dr Akmal Saleh
Beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap kepimpinan BERSATU di bawah Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menurutnya telah terpengaruh dan dikuasai oleh Azmin Ali, sehingga menyebabkan parti itu hilang fokus daripada agenda rakyat kepada agenda peribadi.
“Saya berpandangan bahawa BERSATU sudah tidak ada masa depan kerana YB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden merelakan diri untuk dipengaruhi dan dikuasai oleh Azmin Ali. Ini menyebabkan BERSATU lari jauh dari agenda rakyat, kepada hanya memperjuangkan agenda dan cita-cita peribadi,” ujarnya.
Wan Saiful juga menegaskan satu isu yang pernah menjadi tuduhan terhadap beliau, iaitu usaha penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN), yang menurut beliau kini dilakukan oleh Muhyiddin sendiri.
“Inilah hipokrasi Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya menegaskan.









