Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, menegaskan bahawa rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain turun ke jalan raya jika kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan menjalankan siasatan bebas serta telus.
Menurut Rafizi, beliau telah menyediakan laporan kepada BERSIH dan NGO-NGO lain, namun langkah tersebut bergantung kepada tindakan kerajaan.
“Kalau kerajaan masih ‘klu klek’ (tidak tegas), tidak mahu menggantung Azam Baki dan enggan adakan siasatan bebas, maka kita terpaksa turun berkali-kali sehingga Azam Baki turun,” katanya ketika berucap di Himpunan dan Lawan: #TangkapAzamBaki di hadapan Kompleks Sogo pada Ahad
Rafizi turut menegaskan bahawa tuduhan oleh Bloomberg terhadap Azam Baki tidak boleh disiasat secara dalaman kerana Azam sendiri berada dalam kedudukan berkuasa sejak zaman beberapa Perdana Menteri terdahulu, termasuk Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob, dan kini Anwar Ibrahim.
“Kalau kita buat laporan, siapa yang akan siasat? Azam Baki sendiri. Sistem Putrajaya kini dikawal oleh individu seperti ini,” katanya.
Baca juga:
- ‘Kita akan turun berkali-kali sehingga Azam Baki turun’
- Kanak-kanak 4 Tahun ditemui lemas dalam kolam ikan
- Hanya Mercun ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan
Beliau menambah, isu ini bukan bersifat peribadi, namun ia mencerminkan kegagalan sistemik dalam kerajaan.
“Kalau rakyat hanya menerima ‘gula-gula’, masalah seperti 1MDB dahulu tidak akan selesai. Nama-nama kami tidak boleh pertahankan jika kerajaan membela Azam Baki. Lama-lama rakyat akan rasa semua ahli politik menipu,” ujarnya lagi.
Rafizi juga mengingatkan bahawa setiap kali kerajaan bertukar, pendirian parti politik sering berubah, menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap institusi dan pemimpin semakin merosot. Beliau menegaskan bahawa untuk memperbaiki sistem, rakyat dan parti politik perlu berani menuntut akauntabiliti, tanpa mengira siapa berada di posisi kuasa.









