Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis mengingatkan orang ramai bahawa memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, termasuk sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari 2026.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata hanya dua jenis bunga api dibenarkan iaitu ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ kerana tidak mengandungi bahan bakar berbahaya yang boleh menjejaskan keselamatan. Namun begitu, penjualan kedua-dua jenis tersebut tetap memerlukan permit sah daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan serta perlu mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.
Tegasnya, sesiapa yang memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun serta bunga api selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Baca juga:
- ‘Kita akan turun berkali-kali sehingga Azam Baki turun’
- Kanak-kanak 4 Tahun ditemui lemas dalam kolam ikan
- Hanya Mercun ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan
Selain itu, masyarakat turut diingatkan agar tidak bermain mercun dan bunga api melebihi jam 12 tengah malam kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam serta mendatangkan bahaya kepada orang ramai. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 366) dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dengan hukuman yang sama.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang demi menjamin kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian masyarakat sepanjang musim perayaan serta mengelakkan kejadian tidak diingini.









