Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Lima syarikat Malaysia bakal meterai perjanjian hampir RM2 bilion di Arab Saudi menerusi inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sekali gus membuka laluan lebih besar ke pasaran Timur Tengah.
Perkembangan itu diumumkan dalam satu kenyataan rasmi KUSKOP pada Rabu, yang memaklumkan lima syarikat tempatan iaitu Jaman Tory Group Sdn Bhd, A&A Empire Sdn Bhd (Bokitta), Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn Bhd akan memuktamadkan urus niaga bersama rakan niaga masing-masing di Mekah.
Keseluruhan nilai perjanjian tersebut dianggarkan hampir RM2 bilion dan dimeterai sempena Makkah Halal Forum 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 16 Februari di Arab Saudi.
Baca juga:
- Rafizi, 7 MP PKR desak kerajaan gantung tugas Azam Baki
- Wanita hamil 7 bulan maut dipercayai dibunuh suami
- Selangor henti penternakan babi, import daging sepenuhnya
KUSKOP laksana pendekatan ‘hand holding’
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, inisiatif kali ini bukan sekadar penyertaan pameran semata-mata, sebaliknya melibatkan program bimbingan dan pengupayaan secara menyeluruh.
Buat pertama kalinya, KUSKOP melalui Bank Rakyat melaksanakan pendekatan “hand holding” dengan memadankan perniagaan Malaysia secara langsung ke pasaran eksport sehingga berjaya merealisasikan potensi jualan hampir RM2 bilion.
Beliau turut menjelaskan bahawa Arab Saudi yang menerima kira-kira 30 juta pelawat antarabangsa setiap tahun merupakan pasaran strategik serta pintu masuk penting untuk memperkenalkan produk dan jenama Malaysia, khususnya dalam ekosistem halal yang semakin berkembang pesat.
Bank Rakyat perkukuh pembiayaan eksport
Dalam kenyataan sama, Bank Rakyat sebagai agensi di bawah KUSKOP turut menyediakan kemudahan pembiayaan bagi memperkukuh keupayaan kewangan syarikat terlibat untuk mengembangkan perniagaan ke Timur Tengah.
Kelima-lima syarikat berkenaan merupakan pelanggan sedia ada dalam ekosistem Bank Rakyat dan dipilih berdasarkan tahap kesediaan eksport serta potensi pertumbuhan di peringkat antarabangsa.
Program rintis ini dijangka diteruskan bagi membimbing lebih ramai PMKS Malaysia menembusi pasaran domestik dan luar negara selari dengan Strategi ABCD yang diperkenalkan kementerian.








