Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan bahawa kajian kebolehlaksanaan bagi melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah dijalankan sejak pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini.
Menurut beliau, kajian berkenaan bermula pada Disember lalu dan rang undang-undang persendirian berkaitan perkara itu juga telah dikemukakan oleh seorang Ahli Parlimen dalam sidang Parlimen yang lalu.
Hannah berkata, kajian tersebut dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bukan oleh mana-mana parti politik.
“Kajian ini telah berlangsung sejak bulan Disember semasa mantan Menteri Wilayah Persekutuan. Kajian ini jangan takut, ia dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa.
“Jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP. Ini adalah Universiti Islam Antarabangsa yang saya yakin kajian mereka berkualiti,” katanya.
Baca juga:
- Sultan Selangor cadang penyokong Selangor FC cetus kekacauan diharamkan masuk stadium
- ‘Tugas SPRM dapatkan semula wang dicuri, kembalikan kepada rakyat’ – Azam Baki
- ‘Jangan takut, kajian dijalankan oleh UIA, bukan orang DAP’ – Hannah Yeoh
Beliau menjelaskan, kementeriannya kini masih menunggu dapatan penuh kajian berkenaan sebelum sebarang pembentangan dibuat kepada Kabinet.
“Selepas kita mendengar hasil kajian sama ada boleh atau tidak boleh dilaksanakan, barulah kita akan sediakan kertas Kabinet untuk memaklumkan kepada Kabinet sama ada Jabatan Wilayah Persekutuan perlu meminda akta atau tidak.
“Pada ketika ini, masih terlalu awal untuk memberi sebarang komen kerana proses kajian masih berjalan,” katanya.
Sebelum ini, Hannah dilaporkan mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Beliau berkata pemilihan Datuk Bandar menerusi pilihan raya dilihat lebih praktikal berbanding mengadakan pilihan raya yang melibatkan pemilihan ramai ahli majlis bandar raya di peringkat kerajaan tempatan.
Cadangan berkenaan turut mencetuskan polemik politik apabila pimpinan UMNO, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa parti itu membantah cadangan tersebut.
Sumber: Harian Metro









