Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) menyatakan rasa kesal terhadap insiden yang melibatkan sebilangan minoriti penyokong di Jambatan Angkat (Drawbridge), Kuala Terengganu, sebelum perlawanan Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan di Facebook, kelab berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu atas tindakan tegas yang diambil bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan orang awam.
“Selangor FC tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan orang ramai. Tingkah laku sebegini bercanggah dengan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh kelab dan komuniti bola sepak Selangor,” menurut kenyataan rasmi kelab itu.
Insiden berkenaan jelasnya menjadi iktibar kepada semua pihak dan menekankan agar penyokong sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab, saling menghormati, serta bersatu padu bagi memupuk budaya sokongan bola sepak yang positif dan sihat.
Baca juga:
- Trump ‘koyak’ dengan jenaka Epstein, ugut samanTrevor Noah
- Mulai 15 Februari, TikTok Shop kenakan caj RM0.50 bagi setiap pesanan berjaya
- Pengakuan wanita terembat kain hospital sejak bersalin cetus kecaman netizen
Selangor FC juga menegaskan bahawa mereka sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana kumpulan penyokong dan akan terus memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan serta memeriahkan sukan bola sepak tempatan.
Terdahulu, beberapa rakaman tular menunjukkan penyokong Selangor FC berarak membawa bendera dan menyalakan suar di Jambatan Angkat sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus baru-baru ini.
Susulan kejadian berkenaan, 33 penyokong Selangor FC dicekup dan dibawa ke Mahkamah Majistret bagi perintah reman selepas membakar suar di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu. Kesemua mereka antara 400 yang ditahan untuk saringan, dengan 21 positif dadah dan dua memiliki ganja.










