Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa Hajah Asmah, jemaah haji yang sebelum ini selamat dibawa pulang ke tanah air bagi mendapatkan rawatan lanjut, telah kembali ke rahmatullah pada Isnin di Hospital Tanjung Karang.
Menurut beliau, pemergian Allahyarhamah berlaku selepas segala ikhtiar perubatan terbaik diberikan oleh pasukan perubatan yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.
“Walaupun diuji dengan kesakitan yang berat, perjalanan terakhir Hajah Asmah pulang ke tanah air telah berlangsung dengan sokongan dan solidariti seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohd Na’im turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesabaran atas kehilangan besar yang dialami.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang bersama-sama membantu dalam misi membawa pulang Allahyarhamah ke tanah air.
“Usaha ini bukan sekadar misi membawa pulang, tetapi satu usaha menyatukan kembali sebuah keluarga yang telah terpisah. Saya yakin semangat kebersamaan inilah yang menjadi kekuatan negara kita,” ujarnya.
Baca juga:
- Mulai 15 Februari, TikTok Shop kenakan caj RM0.50 bagi setiap pesanan berjaya
- Kelab Bola Sepak Selangor FC kesal insiden penyokong di Jambatan Angkat
- ‘KL Gangster akan kuasai pilihan raya Datuk Bandar KL?’ – Puad Zarkashi
Terdahulu, jemaah haji, Hajah Asmah Mansor, 71, yang sebelum ini dilaporkan mengalami komplikasi kesihatan selepas menunaikan ibadah haji, selamat tiba di tanah air pada November lalu menerusi penerbangan Air Ambulance dari Jeddah.
Sebelum ini, kira-kira RM500,000 diperlukan bagi menampung kos membawa pulang Hajah Asmah susulan keperluan penggunaan ventilator secara berterusan termasuk ketika penerbangan pulang ke Malaysia. Kos besar itu berdasarkan penilaian doktor pakar di Arab Saudi dan pegawai perubatan Tabung Haji.
Hajah Asmah sebelum ini disahkan menghidap pneumonia dan dirawat di ICU Saudi German Hospital.








