LHDN diarah bayar balik RM15.672 juta kepada Petronas | The Reporter

LHDN diarah bayar balik RM15.672 juta kepada Petronas

Mahkamah Rayuan arah LHDN bayar balik RM15.67 juta lebihan cukai kepada Petronas bagi tahun taksiran 2010
Gambar: Business Today

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Rayuan pada Khamis memerintahkan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membayar semula RM15.672 juta kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam tempoh enam bulan bermula semalam, berhubung lebihan cukai bagi tahun taksiran 2010.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Petronas berhubung pertikaian penolakan perbelanjaan berkaitan kos pejabat syarikat itu di luar negara.
Panel berkenaan terdiri daripada Hakim Datuk P. Ravinthran, Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.

Dalam penghakimannya, Datuk Wong Kian Kheong berkata Mahkamah Tinggi serta Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan bahawa Petronas tidak berhak menolak perbelanjaan pejabat luar negara di Sudan dan Vietnam di bawah Seksyen 15 akta berkaitan.

Beliau menjelaskan bahawa penyata cukai Petronas bagi tahun 2010 telah dikemukakan dalam tempoh ditetapkan dan semua cukai yang perlu telah dibayar sepenuhnya kepada Ketua Pengarah LHDN.

Baca juga:

Mahkamah juga menolak hujah LHDN bahawa Petronas cuai dalam mengemukakan penyata cukai berkenaan. Menurut Wong, walaupun sekiranya terdapat kecuaian, Mahkamah Tinggi dan PKCP sepatutnya menentukan sama ada kecuaian itu menyebabkan kerugian cukai, namun gagal berbuat demikian.

Tambahnya, perbelanjaan pejabat berkenaan jelas dibelanjakan di luar Malaysia dan oleh itu, Ketua Pengarah LHDN dihalang oleh Seksyen 39(1) Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 daripada mengeluarkan taksiran tambahan melalui Borang JA.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan mengarahkan LHDN membayar semula RM11,392,044 dan RM4,280,556 kepada Petronas dalam tempoh enam bulan.

Mahkamah turut memutuskan tiada perintah mengenai kos bagi prosiding di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan di hadapan PKCP, dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts