Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan denda RM40,000 terhadap seorang pempengaruh media sosial selepas tertuduh mengaku bersalah memuat naik video jelik yang memaparkan seorang gelandangan dijadikan kandungan media sosial.
Hakim Sazlina Safie turut memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya denda gagal dibayar terhadap tertuduh, Tang Sie Luk, 23. Bagaimanapun, tertuduh telah membayar denda berkenaan sejurus keputusan dibuat.
Kes itu berkait dengan penularan sebuah video berdurasi lebih satu minit yang memaparkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang sedang tidur di kaki lima. Kandungan tersebut mencetuskan kecaman orang ramai selepas dikongsi secara meluas di media sosial.
Baca juga:
- Jeritan selamatkan nyawa, kanak-kanak nyaris maut diserang individu di Rawang
- ‘Kalau rasa siasatan tak ke mana, saya akan usulkan siasatan dihentikan’ – Rafizi Ramli
- ‘Tiada kompromi salah guna kuasa, rasuah penjawat awam’ – KSN
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara sedar memulakan penghantaran komunikasi berbentuk jelik melampau melalui aplikasi Instagram dengan niat menganiaya pihak lain. Video berkenaan dilihat di Pusat Khidmat Komuniti DUN Semambu, Lorong Sekilau 58, Jalan Haji Ahmad, sekitar tengah hari pada 4 Ogos 2025.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab, berhujah bahawa perbuatan tertuduh bukan bertujuan kebajikan, sebaliknya dilakukan dalam konteks rakaman kandungan media sosial. Mahkamah turut dimaklumkan mangsa berasa terhina dan marah akibat perbuatan tersebut.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum dengan alasan telah insaf serta memohon maaf atas perbuatannya.
Sumber: Bernama








