Bil Pembetungan: Tahukah Apa Sebenarnya Yang Anda Bayar? | The Reporter

Bil Pembetungan: Tahukah Apa Sebenarnya Yang Anda Bayar?

INDAH WATER KONSORTIUM X THE REPORTER

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menjadi rutin harian, sebaik sahaja kita  mengepam tandas atau membasuh pinggan mangkuk  di singki, air sisa kumbahan itu akan mengalir pergi dan terus hilang memasuki sistem paip.

Tapi mana agaknya air sisa kumbahan tu semua pergi?

Untuk pengetahuan, tanggungjawab besar mengendalikan air sisa kumbahan ini dipikul oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd. 

Walaupun peranan IWK sangat penting, perkhidmatan pembetungan masih kerap terlepas pandang kerana ramai tidak benar-benar tahu apa yang berlaku selepas air kumbahan keluar dari premis kediaman atau perniagaan.

Salah satu persoalan paling kerap timbul ialah mengenai bil pembetungan.



“Bayaran ini sebenarnya untuk apa? Bagaimana proses pembetungan dijalankan?” 

Sistem Pembetungan di Malaysia: Bersambung atau Tangki Septik?

Di Malaysia, terdapat dua jenis sistem pembetungan utama: Sistem Pembetungan Bersambung dan Tangki Septik (Individu atau Komunal).

Sistem Pembetungan Bersambung melibatkan rangkaian paip pembetungan awam yang membawa air kumbahan dari premis ke loji rawatan kumbahan (LRK) IWK. 

Pengguna sistem ini akan menerima bil setiap enam bulan, merangkumi kos kutipan, rawatan dan penyelenggaraan infrastruktur.

Tangki Septik pula digunakan oleh premis yang tidak bersambung ke sistem pembetungan awam. Air kumbahan disimpan sementara dalam tangki septik individu atau komunal, yang perlu disedut secara berkala, sebaiknya setiap dua tahun bagi mengelakkan limpahan dan pencemaran. 

Untuk kategori ini, tiada bil berkala dikenakan. Caj hanya dikenakan apabila pelanggan memohon perkhidmatan pengosongan tangki septik oleh IWK.

Jadi Apa Sebenarnya Yang Anda Bayar?

Bagi premis yang menggunakan sistem bersambung, caj adalah ditetapkan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 melalui Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) 2022 dan Pindaan 2025.

Caj ini menampung operasi dan penyelenggaraan rangkaian pembetungan negara, termasuk:

  • 9,260 loji rawatan kumbahan dan stesen pam
  • Lebih 22,000 km rangkaian paip bawah tanah
  • Perkhidmatan untuk kira-kira 33 juta penduduk setara (cPE)

Selain operasi harian, IWK turut bertanggungjawab terhadap pematuhan peraturan alam sekitar, kerja penyelenggaraan, pembaikan serta naik taraf infrastruktur.

LRK beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Walaupun dilengkapi sistem automasi, ribuan pekerja diperlukan untuk memastikan semua komponen berfungsi secara optimum bagi mengelakkan gangguan rawatan kumbahan.

Walaupun kebanyakan proses ini berlaku di belakang tabir, impaknya besar untuk mencegah pencemaran sungai, tanah dan sumber air, sekali gus melindungi kesihatan awam.

Mengapa Caj Pembetungan Perlu Diselaraskan?

Sejak penubuhannya pada 1994, IWK mengekalkan struktur tarif yang sama hampir 28 tahun. Dalam tempoh tersebut, jumlah loji yang diambil alih semakin bertambah, kos operasi meningkat, dan jumlah air sisa meningkat seiring pertumbuhan populasi. Semuanya tanpa pelarasan tarif sehingga beberapa tahun kebelakangan ini.

Kerajaan Malaysia menetapkan caj berdasarkan prinsip kemampuan dan kesaksamaan. Pelarasan tarif disemak semula pada 1 Oktober 2022 bagi perkhidmatan pengosongan tangki septik, dan pada 1 Januari 2023 bagi perkhidmatan pembetungan bersambung.

Pelarasan ini penting bagi memastikan sistem pembetungan negara dapat beroperasi selaras dengan piawaian moden dan keperluan semasa.

Dari segi kos, pelanggan IWK sebenarnya membayar kurang daripada kos sebenar penyediaan perkhidmatan:

  • Purata kos penyelenggaraan bagi premis bersambung: RM17 sebulan
    Caj semasa: RM4.09 – RM12.32 sebulan
  • Pengosongan tangki septik:
    Caj pelanggan: RM192
    Kos sebenar: Sekitar RM430 (berdasarkan isipadu purata 1.7m³)

Perbezaan ini jelas menunjukkan komitmen untuk memastikan caj kekal mampu dibayar oleh pengguna.

Kenapa Penting Untuk Membayar Bil Pembetungan?

Walaupun perkhidmatan pembetungan bukan sesuatu yang kita lihat setiap hari, kesannya sangat besar. Bayaran yang disalurkan kepada IWK membantu:

  • Memastikan alam sekitar kekal bersih dan selamat
  • Melindungi sungai dan sumber air
  • Menyelenggara infrastruktur penting
  • Menyokong sistem sanitasi negara

Bayangkan satu senario di mana IWK tidak lagi dapat beroperasi dengan cekap, di mana loji rawatan tidak berfungsi, sungai tercemar, risiko penyakit meningkat, alam sekitar terjejas, dan keselamatan sumber air negara terancam. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kita, malah generasi akan datang.

Atas sebab itu, kerjasama dan sokongan pelanggan dalam menjelaskan bil pembetungan amat dihargai. Sumbangan kecil ini memastikan sistem sanitasi negara terus terpelihara dan berfungsi untuk masa depan Malaysia.

Pesanan The Reporter: Jangan lupa bayar bil Indah Water anda!

Related Posts