Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selepas setahun terjejas akibat kempen boikot yang menurunkan jualan dan memaksa ratusan cawangan ditutup, Berjaya Food Bhd kini mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, meskipun secara perlahan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sydney Lawrance Quays berkata, prestasi Starbucks Malaysia semakin stabil apabila pengguna mula memahami bahawa rangkaian itu diuruskan sepenuhnya oleh syarikat tempatan dan tidak mempunyai kaitan dengan konflik Gaza.
“Pemulihan agak perlahan, tetapi kami dapat melihat tanda-tanda positif ke hadapan,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today.
Baca juga:
- Catcha Digital ambil alih MIFB, perluas portfolio expo B2B
- iMedia dan PSM lancar rangkaian pengiklanan LED digital canggih di Stadium Nasional, Unifi Arena
- Catcha Digital rekod hasil RM67.63 juta, untung melonjak 64% pada FY2025
Keuntungan mula meningkat, cawangan dikurangkan
Keputusan suku pertama syarikat menunjukkan kerugian bersih berkurang lebih separuh kepada RM14.8 juta, dengan hasil meningkat 3.3% berbanding tahun sebelumnya — perkembangan positif selepas mencatatkan kerugian rekod RM292 juta bagi tahun kewangan berakhir Jun lalu.
Namun, disebabkan tekanan boikot, Berjaya Food telah mengurangkan jumlah cawangan Starbucks di Malaysia daripada 400 kepada 320, sekali gus kehilangan kedudukan sebagai rangkaian kopi terbesar di negara ini kepada pesaing tempatan Zuspresso.
Persepsi pengguna mula berubah
Quays menjelaskan, kempen boikot semakin reda apabila pengguna semakin sedar Starbucks Malaysia tidak mempunyai hubungan langsung dengan Israel.
Beliau turut menambah, hampir semua kakitangan Starbucks Malaysia adalah beragama Islam dan syarikat masih percaya kuat terhadap jenama tersebut.
“Kami yakin jenama ini masih relevan untuk kelas pertengahan dan pelancong yang semakin berkembang di Malaysia,” ujarnya.
Cabaran kekal dari pesaing tempatan dan China
Menurut penganalisis Syifaa’ Mahsuri Ismail dari Hong Leong Investment Bank, walaupun ada peningkatan, pemulihan penuh mungkin tertunda akibat kesan reputasi berpanjangan serta saingan sengit daripada rangkaian kopi tempatan dan dari China yang berkembang pantas.
Selain Starbucks, Berjaya Food turut mengendalikan Kenny Rogers Roasters dan Paris Baguette di Malaysia serta Filipina, dengan Starbucks menyumbang 80% daripada hasil kumpulan.
Saham Berjaya Food meningkat 2% pada Selasa, namun masih susut sekitar 25% sejak awal tahun ini.








