45 pelajar cemerlang ditolak universiti Korea Selatan kerana rekod buli | The Reporter

45 pelajar cemerlang ditolak universiti Korea Selatan kerana rekod buli

Pelajar yang mempunyai rekod buli tidak diterima masuk ke mana-mana universiti di Korea Selatan.
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sebanyak 45 pelajar berprestasi tinggi di Korea Selatan dilaporkan ditolak kemasukan ke enam universiti kebangsaan utama, termasuk Universiti Kebangsaan Seoul (SNU), selepas semakan mendapati mereka mempunyai rekod kes buli di sekolah.

Menurut laporan Korea JoongAng Daily, langkah itu menandakan perubahan besar dalam sistem pengambilan pelajar universiti Korea Selatan, yang selama ini menilai pemohon berdasarkan pencapaian akademik semata-mata tanpa mengambil kira kelakuan sosial.

Daripada jumlah itu, dua pemohon ditolak oleh SNU, universiti paling berprestij di negara tersebut, manakala 22 pelajar lain tidak diterima oleh Universiti Kebangsaan Kyungpook (KNU). Empat universiti kebangsaan lain turut melaksanakan dasar sama yang membolehkan pihak pentadbiran menolak pelajar dengan rekod keganasan atau buli sekolah.

Mulai 2026, dasar ini akan diperluaskan dan menjadi wajib di semua universiti seluruh negara. Setiap institusi pendidikan tinggi perlu menilai rekod disiplin pelajar, termasuk laporan berkaitan keganasan di sekolah.

Khusus untuk kolej pendidikan, peraturan lebih ketat akan dikuatkuasakan iaitu mana-mana pemohon dengan sejarah buli akan terus hilang kelayakan, tanpa mengambil kira tahap kesalahan.

Baca juga:

Menurut laporan itu lagi, perubahan ini dibuat selepas tekanan awam selama bertahun-tahun berhubung kes buli yang semakin serius, termasuk beberapa kes pelajar yang membunuh diri akibat trauma.
Isu tersebut turut mendapat perhatian luas melalui drama popular seperti The Glory yang menggambarkan penderitaan mangsa buli.

Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan Korea Selatan telah memperkenalkan sistem yang membolehkan rekod buli pelajar disimpan selama empat tahun selepas tamat persekolahan, dan boleh diakses oleh universiti, agensi kerajaan serta sesetengah syarikat swasta.

Langkah ini disambut baik oleh masyarakat yang melihatnya sebagai tanggungjawab moral dan sosial, bagi memastikan pelajar yang berjaya melangkah ke universiti bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak dan berperibadi baik.

Related Posts